Sunday, 19 May 2013

Suasana Politik Pada Zaman Imam Ja’far al-Sadiq AS


........................................................ 
Nota Eva Talya: [ Salam. Blog ini bukanlah blog syiah. Adapun sahaya mendokong Ahlul- Bayt dan kemuliaan para wali Allah dari dzuriat turunan Baginda Rasulullah SallaAllahu 'Alayhi Wassalam ]

There are another 11 related posts under key words Imam Ja'afar As-Sadiq in this blog. Feel Free to refer to the LABEL under tag "JA'AFAR AS-SADIQ" @ AHLUL BAYT. Thanks.
........................................................ 


+Credits to: HitamPutih Ahli Sufi


Setelah wafat ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS, Imam Ja’far al-Sadiq menggantikan ayahandanya sebagai Imam kaum Muslimin yang keenam sesuai dengan hadith-hadith yang menetapkannya. Beliau menjadi Imam kaum Muslimin dari tarikh 7 Zul Hijjah tahun 114 Hijrah hingga 15 Rejab 148 hijrah iaitu selama kira-kira 34 tahun. Beliau menjadi Imam ketika berusia kira-kira 31 tahun dan wafat ketika umurnya mencapai 65 tahun. Dengan ini juga bermakna Imam Ja’far al-Sadiq AS dapat hidup melalui zaman keruntuhan Bani Umayyah dan permulaan Dinasti Bani Abbasiyyah.

Zaman remajanya Imam Ja’far al-Sadiq AS melalui zaman khalifah Bani Umayyah yang terdiri daripada al-Walid bin Abdul Malik (86-96H), Sulaiman bin Abdul Malik (96-99H), Umar bin Abdul Aziz 96-101H), dan di zaman awal dewasannya Imam al-Sadiq AS melalui zaman Yazid bin Abdul Malik (101-105H), dan di zaman beliau AS menjadi Imam kaum Muslimin, beliau AS melalui zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik (105-125H), Al-Walid bin Yazid (125-126H), Yazid bin Al-Walid (126H), Ibrahim bin Al-Walid (126H), dan Marwan bin Muhammad (127-132H). Seterusnya Imam Ja’far al-Sadiq AS melalui pula zaman awal pemerintahan Bani Abbasiyyah iaitu zaman khalifah al-Saffah dan al-Mansur (136-158H).


Kezaliman Khalifah-khalifah Bani Umayyah

Al-Walid bin Abdul Malik adalah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan datuk Imam Ja’far al-Sadiq AS, Imam Ali Zainal Abidin AS pada tahun 95 Hijrah. Al-Walid berasa cemas melihat kedudukan Imam Ali Zainal Abidin AS yang semakin tinggi dan peribadinya yang semakin dicintai rakyat. Al-Walid sangat khuatir kedudukan Imam Ali Zainal Abidin yang akan mengancam kekuasaannya. Maka pada tahun 95H, dengan perantaraan saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik, ia mengutuskan seseorang untuk meracunnya secara sulit.

Al-Masudi meriwayatkan:
” Walid adalah penguasa yang zalim. Bapanya mencadangkan supaya al-Walid memuliakan Hajjaj bin Yusuf; memakai kulit harimau bintang dan bersedia dengan pedang untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya.” 

Al-Walid mematuhi cadangan bapanya itu. Beliau seperti juga bapanya membiarkan al-Hajjaj bertindak sesuka hatinya, membunuh dan menyeksa penentang-penentangnya. Al-Hajjaj membunuh Sa’id bin Jubayr pada zaman al-Walid. Tersebut dalam kitab Tarikh Ibn Jawzi bahawa penjara al-Hajjaj hanya terdiri daripada dinding sahaja tanpa bumbung untuk melindungi banduan-banduan daripada panas terik dan dingin. Masudi menulis: ” Bilangan orang yang dibunuh oleh al-Hajjaj ialah sebanyak kira-kira 120,000 orang tidak termasuk bilangan yang dibunuh dalam peperangan. Ketika beliau meninggal dunia tedapat kira-kira 50,000 orang lelaki dan 30,000 orang perempuan dalam penjaranya dan 16,000 orang perempuan daripada 30,000 orang tadi dalam keadaan tidak berpakaian.” Inilah panglima yang dilantik oleh Abdul Malik bin Marwan bapa al-Walid dan al-Hajjaj inilah yang dimuliakan oleh al-Walid bin Abdul Malik.


Apabila Hajjaj mencapai usia 54 tahun beliau menderita sakit perut yang berlangsung selama 15 hari. Dalam tempoh tersebut dia menyedari kematian sudah menghampirinya. Tabib yang dipanggil untuk merawarnya mengikat secebis daging dan dimasukkan ke dalam tekaknya. Apabila dikeluarkan daging itu, tabib itu mendapati sejumlah ulat yang telah melekat kepadanya. Dalam tempoh penderitaan itu, al-Hajjaj juga mengalami penyakit kesejukan dan mengigil. Al-Hajjaj diletakkan di sisi unggun api yang besar yang mampu membakar kulitnya tetapi dia tidak merasakannya. Al-Hajjaj menghubungi Hasan al-Basri. 


Hasan al-Basri berkata:” Aku telah menjelaskan kepada kamu supaya jangan mencabul hak hamba-hamba Allah tetapi kamu telah melakukan lebih dahsyat daripada itu.” 

Hajjaj berkata:” Aku tidak meminta kamu mengubatiku tetapi aku hanya kamu berbuat sesuatu supaya aku tidak mati secepat mungkin.” Al-Hajjaj akhirnya mati juga. Ketika berita kematiannya sampai kepada Hasan al-Basri, beliau lantas bersujud syukur kepada Allah SWT dan berkata:

” Wahai Tuhan, sebagaimana Engkau telah mencabut nyawanya maka hentikanlah dasar-dasarnya yang cabul itu.” 

Hajjaj di kuburkan di Wasit. Al-Walid mengatus majlis perkabungan ke atas kematiannya. Allah SWT telah menghina kematian Hajjaj bin Yusuf tetapi al-Walid bin Abdul Malik mahu memuliakannya.


Al-Walid bin Abdul Malik meninggal dunia selepas memerintah selama 9 tahun 1 bulan dan jawatan khalifah kemudian disandang pula oleh saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik. Pada masa ini usia Imam Ja’far AS kira-kira 13 tahun. Jawatan Imam kaum Muslimin di pegang oleh ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS. Di zaman pemerintahan Sulaiman (96-99H), tidak ada apa-apa pembangunan dan kebajikan yang dilakukannya selain daripada membina istana-istana yang cantik untuk mengisi wanita dan jariah yang cantik-cantik bagi keperluan peribadinya. Ahli sejarah tidak begitu banyak mencatat riwayat hidupnya selain daripada beberapa peristiwa kejam yang dilakukannya ke atas pemimpin-pemimpin Islam yang telah berjasa di zaman pemerintahan khalifah-khalifah sebelumnya. Sulaiman bertanggugjawab mengbunuh Muhammad bin Qasim yang telah membuka Sind di India. Beliau turut membunuh Qutaibah bin Muslim yang telah membuka wilayah Khurasan dan sekitarnya. Beliau juga membunuh Musa bin Nusair yang telah membuka Sepanyol. Faktor utama pembunuhan-pembunuhan itu ialah iri hati dan curiga terhadap panglima-panglima itu yang dijangka akana menggulingkannya daripada takhta kerajaan. 

Sulaiman bin Abdul Malik meninggal dunia pada hari Jumaat 20 Safar 99 Hijrah dan pada hari yang sama Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah baru Bani Umaiyyah yang kelapan. Usia Imam Ja’far al-Sadiq AS ketika itu kira-kira 16 tahun. 


Khalifah Umar bin Abdul Aziz dibesarkan dalam keluarga Bani Umaiyyah yang mencerca Imam Ali AS di atas mimbar pada hari Jumaat. Namun demikian gurunya yang bernama Ubaydullah bin Abd bin Utbah bin Mas’ud adalah pengikut setia Imam Ali AS dan Ahlul Bayt AS tetapi beliau tidak mengisytiharkan pendiriannya itu secara terang-terangan kerana khuatir akan keselamatan nyawanya. Ketika Umar masih kecil, Ubaydullah mendapat kesempatan menjelaskan Umar tentang kebesaran dan kemuliaan Imam Ali AS. Kisah bagaimana cercaan terhadap Imam Ali AS dihentikan oleh Umar bin Abdul Aziz diceritakan oleh Ibn Athir dan Ibn Abil Hadid seperti berikut:


” Aku (Umar bin Abdul Aziz) belajar Qur’an daripada seorang keturunan Atbah bin Masud. Pada suatu hari beliau berjalan melintasi aku ketika aku sedang bermain dengan kawan-kawanku dan mencerca Saidina Ali. Beliau nampak tidak senang apabila menyaksikan hal ini dan terus ke masjid. Aku mengekori beliau ke masjid untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Guruku tidak memperdulikanku dan memanjangkan solatnya dan nampaknya beliau tidak menyukai perbuatan aku tadi. Aku bertanya kepadanya mengapa beliau tidak menyukai perbuatan aku itu. 

Beliau bertanya kepadaku:” Adakah kamu juga mencerca Saidina Ali selama ini?” Aku mengiyakannya. 

Beliau berkata:” Dari mana kamu dapat tahu Saidina Ali dibenci Allah SWT? Aku berkata: ” Adakah Ali salah seorang ahli Badar?” 

Beliau berkata:” Kejayaan Perang Badar adalah untuk Ali.” 

Aku berkata:” Aku tidak akan mencerca Saidina Ali pada masa akan datang.” Guruku meminta aku berjanji bahawa aku tidak akan melakukan perbuatan mencerca Saidina Ali pada masa akan datang dan aku pun memenuhi permintaannya itu.”


Umar bin Abdul Aziz selanjutnya berkata:” pada Hari Jumaat ayahku berdiri di atas mimbar di Madinah menyampaikan khutbah dan berucap dengan fasihnya. Walau bagaimanapun apabila dia sampai kepada kata-kata cercaan kepada Saidina Ali dia menjadi tergagap-gagap, rendah suara dan mendapati sukar untuk menyatakan cercaan itu. Aku memikirkan hal itu. 

Pada suatu hari aku bertanya kepada ayahku:” Ayah seorang pemidato yang fasih.” Ayahku berkata:” Engkau menyedari perkara itu?” 

Aku menjawab:” Ya.” Ayahku kemudian berkata:” Jika orang-orang Syria dan lain-lain mengetahui kebaikan-kebaikan Ali, mereka tidak akan mentaati kita sebaliknya mereka akan menyebelahi keturunan Ali.” 

Aku ingat kata-kata ini dan kata-kata guruku semasa aku kecil dulu dan aku berjanji kepada Allah Azawajalla seandainya aku menduduki jawatan khalifah, aku akan menghentikan cercaan terhadap Saidina Ali.”


Umar bin Abdul Aziz menunaikan janjinya dan melarang cercaan terhadap Saidina Ali di atas mimbar dan memerintahkan ayat berikut dibaca bagi menggantikan cercaan tersebut:” Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Dia melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Q16:90).


Beliau mengirim arahan tersebut ke seluruh pelusuk kota. Tindakannya ini di ambil sebagai satu tanggungjawab dan seterusnya menjadi amalan dalam masyarakat. Orang ramai memuji Ibn Abdul Aziz kerana tindakan beliau itu.


Umar juga bertanggungjawab memulangkan Tanah Fadak kepada keturunan Fatimah AS. Beliau menyerahkan Tanah Fadak kepada Imam Muhammad al-Baqir AS. Tindakannya itu mendapat kritikan sebahagian Quraish dan orang-orang Syria kerana pada tanggapan mereka Umar telah menyalahi keputusan Abu Bakar dan Umar al-Khattab. 

Umar bin Abdul Aziz berkata: ” Tuntutan Fatimah ke atas Tanah Fadak adalah berasas dan tanah itu adalah miliknya. Fatimah sebagai penghulu wanita di syurga sudah tentu tidak akan membuat tuntutan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W. Oleh itu dengan tindakan ini aku mengharapkan taqarrub kepada Allah dan NabiNya dan aku mengharapkan syufaat dari Fatimah, Imam Hasan dan Imam Husayn. Seandainya aku berada di pihak Abu Bakar, aku akan menerima permintaan Fatimah dan tidak akan menuduhnya pembohong.”

Umar meninggal dunia pada tahun 101 Hijrah. Kemudian jawatan khalifah jatuh ke tangan Yazid bin Abdul Malik. Yazid memegang tampuk pemerintahan selama 5 tahun. Sementara itu ketika itu, usia Imam Ja’far al-Sadiq AS kira-kira 18 tahun. Berbeza dengan Umar bin Abdul Aziz yang adil, sebaliknya Yazid melakukan tindakan-tindakan yang sebaliknya. Beliau menulis surat kepada gabenor-gabenornya supaya kembali ke keadaan asal. Yazid merampas kembali Tanah Fadak. Seperti juga Yazid bin Muawiyah, Yazid bin Abdul Malik gemar kepada wanita-wanita dan minum arak. 

Ibn Abdul Rabbih meriwayatkan bahawa Abu Hamzah melukiskan perwatakan Yazid seperti berikut:” Dia meletakkan Hubabah di sebelah kanannya dan Salamah di sebelah kirinya. Kemudian dia meminta Hubabah menyanyikan lagu untuknya dan Salamah menuangkan arak untuknya. Apabila dia mabuk dia gemar mengoyakkan pakaiannya dan berkata:” Aku mahu terbang. Terbang ke neraka yang menjadi persemadian si penjenayah.”


Yazid meninggal dunia pada tahun 105 Hijrah dan digantikan pula oleh Hisyam bin Abdul Malik. Beliau menjalankan dasar yang kejam kepada para pengikut Ahlul Bayt AS. Hisyam memerintahkan golongan syiah dihancurkan. Ramai yang dimasukkkan ke dalam penjara dan juga dibunuh. Beliau merobohkan rumah Kumayt, seorang penyair yang menyokong Ahlul Bayt. Beliau menulis kepada Khalid bin Abdul Malik, gabenor Madinah supaya memenjarakan keturunan Bani Hasyim dan melarang mereka meninggalkan kota. Imam Muhamad al-Baqir wafat pada tahun 114 Hijrah akibat diracun oleh Ibrahim ibn Walid ibn Abdullah, anak saudara Hisyam bin Abdul Malik. Pada tahun 121 Hijrah Zaid bin Ali Zainal Abidin AS melakukan gerakan jihad menentang rejim Hisyam yang zalim itu. Walau bagaimanapun Zaid terbunuh bersama ramai pengikut-pengikutnya. Berita syahidnya Zaid disampaikan kepada Imam Ja’far al-Sadiq AS. Imam amat dukacita apabila mengetahui kejadian tersebut. Imam segera mengirimkan wang seribu dinar kepada keluarga pengikut-pengikut Zaid yang terkorban.


Selepas peristiwa penentangan Zaid, Hisyam memerintahkan agar seluruh keluarga Abu Talib, terutamanya para pemukanya harus menjauhkan diri dari sebarang pemberontakan dan mengutuk para pemimpinnya. Di antara mereka ialah Abdullah bin Muawiyah dan Abdullah al-Mahdi tetapi nama Imam Ja’far al-Sadiq AS tidak disebut. Putra Zaid bernama Yahya meneruskan perjuangan ayahnya tetapi setelah tiga tahun bergiat di Khurasan, usaha Yahya itu gagal seperti juga ayahnya. Beliau terkorban ketika menentang khalifah Walid bin Yazid (125-126 Hijrah).


Setelah kematian al-Walid bin Yazid pada tahun 126 Hijrah, Abdullah al-Mahdi bersama kelompoknya memutuskan untuk bertindak. Pada waktu menunaikan Haji di Mekah, Abdullah al-Mahdi mengundang kerabatnya dan para pengikutnya untuk membai’ah putranya Muhammad bin Abdullah. Pembai’ahan itu pertama kali dilakukan di Masjidil Haram dan kemudian di al-Abwa dekat Madinah. Menurut Abu Faraj, di antara yang mengangkat sumpah adalah tiga Abbasiyyah bersaudara iatu Ibrahim al-Imam, Abul Abbas al-Saffah dan Abu Ja’far al-Mansur serta anggota lain dari keluarga Abbasiyyah. Walau bagaimanapun, Al-Tabari hanya menyebut nama Abu Ja’far al-Mansur sahaja yang mengangkat sumpah membaiah Muhammad bin Abdullah.


Pada tahun 129 Hijrah, sepucuk surat yang dikirimkan oleh Ibrahim bin Muhammad kepada Abu Muslim al-Khurasani di Khurasan jatuh ke tangan Marwan bin Muhammad (127-132H). Surat itu menekankan supaya bersikap keras terhadap sesiapa sahaja yang didapati menentang atau cuba mematahkan gerakan mendirikan Kerajaan Abbasiyyah. Walau bagaimanapun Ibrahim dapat ditangkap dan kemudian diseret ke Damsyik dan seterusnya di hantar ke Harran untuk dipenjarakan. Ibrahim al-Imam meninggal dunia dalam penjara. Sebelum meninggal dunia, beliau sempat mewasiatkan supaya jawatan kepimpinan diserahkan kepada saudaranya Abdullah Abu al-Abbas. Kufah hendaklah dijadikan pusat gerakan mereka. Beliau meminta supaya Abu al-Abbas bersama dengan sebilangan keluarga mereka berangkat ke Kufah. Justeru, Abu al-Abbas, Abu Ja’far Abdullah dan empat belas keluarga itu meninggalkan al-Humaimah menuju Kufah.


Wakil Abbasiyyah di Kufah ialah Abu Salamah al-Khallal. Pada saat ini Abu Salamah memikirkan untuk membatalkan baiahnya terhadap Abbasiyyah kerana beliau berasa terikat kesetiaannya kepada Ibrahim al-Imam dan bukan kepada saudaranya Abu al-Abbas. Menurut al-Tabari, apabila kematian Ibrahim al-Imam sampai ke Kufah, Abu Salamah berniat untuk mendirikan Imamah Alawiyah. Dikatakan beliau menulis surat kepada Imam Ja’far al-Sadiq AS, Abdullah al-Mahdi dan Umar bin Ali Zainal Abidin, meminta mereka datang ke Kufah dan beliau akan mendokong Imamah mereka. 


Imam Ja’afar al-Sadiq AS menolak tawaran tersebut. Ketika utusan itu menyerahkan surat tersebut kepada Imam al-Sadiq AS, Imam meminta lampu lalu membakar surat tersebut dan berkata kepada pemgirim surat itu:” Katakan kepada majikanmu itu apa yang telah kamu saksikan.” Abdullah al-Mahdi meneriwa tawaran itu. Lalu Imam Ja’far al-Sadiq AS dilaporkan memperingati Abdullah dengan nada keras supaya ” tidak melibatkan dan membahayakan jiwanya dan anaknya dalam politik itu kerana Abu Salamah bukan syiah kita dan orang Khurasan bukan pengikut kita.”


Pendirian Imam J’afar al-Sadiq AS tentang perjuangan tersebut adalah jelas dalam satu pertemuan di Abwa. Imam al-Sadiq AS terang-terang menolak dakwaan “al-Mahdi” itu. Malahan Imam al-Sadiq AS meramalkan kematian dua bersaudara itu (Muhammad bin Abdullah dan Ibrahim) di tangan al-Mansur.


Syeikh al-Mufid telah meriwayatkan peristiwa pertemuan di Abwa dan penolakan Imam Ja’afar al-Sadiq AS seperti berikut:” Sekumpulan Bani Hasyim bertemu di Abwa. Di antara mereka ialah Ibrahim bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas dan Abu Ja’far al-Mansur, Salih bin Ali, Abdullah bin al-Hasan dan dua orang anaknya Muhammad dan Ibrahim dan Muhammad bin Abdullah in Amr bi Uthman. Salih bin Ali berkata kepada mereka:

” Kamu semua mengetahui bahawa kamu semua adalah orang-orang yang mereka hormati dan Allah telah membawa kamu semua berkumpul di sini. Justeru, berilah baiah kepada salah seorang daripada kamu dengan sepenuh jiwa kamu. Ikatkan diri kamu supaya Allah akan memberikan kemenangan kerana Dia sebaik-baik pemberi kemenangan.”


Abdullah bin Hasan memuji-muji Allah dan kemudian berkata:” Kamu semua tahu bahawa anakku adalah al-Mahdi. Lantaran itu marilah kita semua memberi baiah kepadanya.”


“Mengapa kamu semua membohongi diri kamu sendiri?” Tanya Abu Ja’far al-Mansur. Demi Allah kamu semua mengetahui bahawa tidak ada sesiapa yang akan dikuti oleh orang ramai selain orang ini,” maksudnya Muhammad bin Abdullah. “Benar,” Jawab mereka, “Inilah orang yang kami terima.” Oleh itu mereka semua memberikan baiah kepada Muhammad.

Ja’afar bin Muhamad AS tiba dan Abdullah bin al-Hasan meminta Imam J’afar al-Sadiq AS duduk di sisinya. Abdullah mengulangi apa yang telah dikatakannya sebelum ini. Namun demikian, Ja’far al-Sadiq AS berkata: 

” Jangan lakukan perkara itu. Masa datangnya al-Mahdi belum tiba. Jika kamu (Abdullah) menganggap anakmu Mahdi, sebenarnya bukan, ataupun masa ini bukannya masa al-Mahdi. Hal ini kerana kamu dan saudara tua kami yang kami hormati, kami tidak akan mengabaikan kamu semata-mata untuk kepentingan bai'ah kepada anak kamu, walaupun sekiranya kamu hanya mahu bangkit demi kerana kemarahan di jalan Allah, amar ma’aruf dan nahi mungkar.”

Abdullah menjadi marah dan berkata:” Aku faham pertentangan dalam kata-kata anda. Demi Allah, Allah tidak akan memberikan anda ilmu ghaib tetapi itu hanyalah semata-mata kerana rasa irihati kepada abakku yang menyebabkan anda bersikap demikian.


“Demi Allah, bukan itu tujuanku,” Jawab Imam Ja’afar al-Sadiq AS, ” tetapi orang ini saudaranya dan anak-anaknya.” Kemudian beliau menyentuh belakang tubuh Abu al-Abbas dan memegang belakang tubuh Abdullah bin al-Hasan. “Demi Allah, kekhalifahan bukan untuk anda atau kedua anak anda tetapi ia adalah untuk mereka (Abbasiyyah). Kedua anak anda akan terbunuh.” 


Beliau AS berdiri dan bersandar di bahu Abd al-Aziz bin Imran al-Zuhri, beliau AS menyambung,” Tidakkah anda melihat pemilik jubah kuning?” (maksudnya al-Mansur). “Ia,” dia menjawab. 

“Demi Allah,” beliau AS berkata,” kami melihat pada suatu hari dia (Abu Ja’far al-Mansur) akan membunuhnya (Muhammad bin Abdullah).” “Adakah di akan membunuh Muhammad?” Tanya Abdul Aziz kepada Imam al-Sadiq AS. “Benar,” beliau AS menjawab. Abdul Aziz melaporkan:” Aku berkata kepada diriku: “Demi Tuhan Ka’abah, dia irihati kepadanya.” Tetapi, tidak lama kemudian, demi Allah, aku belum lagi kembali ke rahmatullah dan aku menyaksikan (Abu Ja’far al-Mansur) membunuh mereka berdua.”


Apabila Ja’afar al-Sadiq AS berkata demikian, orang ramai pun bersurai. Abd al-Samad dan Abu Ja’far mengekori al-Sadiq AS dan bertanya,” Abd Allah, adakah anda benar-benar bermaksud demikian?” “Ia,” jawab beliau,” Demi Allah aku benar-benar menyatakan hal itu dan aku mengetahuinya.”


Perlantikan Muhammad bin Abdullah al-Mahdi sebagai khalifah bayangan yang pertama adalah suatu helah politik golongan Abbasiyyah semata-mata untuk menarik sokongan orang-orang Alawiyyah. Apabila pemerintah Bani Umayyah terakhir dikalahkan pada tahun 132 Hijrah, Abu Salamah berhasrat untuk menegakkan kerajaan Alawiyah dan menyingkirkan golongan Abbasiyyah. Golongan Abbasiyyah lantas segera mengisytiharkan Abdullah Abu al-Abbas sebagai khalifah yang pertama. Dengan perlantikan itu jawatan khalifah telah tersingkir dari golongan Alawiyyah.
.

No comments:

Post a Comment