Qiyamullail / Qiamullail/ Bangun Malam / Tahajjud:
1. Sukar Bangun Qiamullail?
2.Tips Bangun Malam (Surah Al-Kahfi Ayat 107 - 110)
3. Qiyamullail (An Overview)
PENJANA JATIDIRI MU’MIN
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
(Surah al-Muzammil ayat 1-4)
MUKADDIMAH
Fizikal, intelek, emosi, dan rohani merupakan aspek utama dalam diri setiap insan.
Fizikal dibina dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Akal pula dibina dengan menuntut ilmu. Manakala emosi pula dibina dengan mendidik dan membentuk hati supaya tergolong dalam kriteria mahmudah dan dijauhkan dari sifat mazmumah. Rohani pula dapat dibina dengan menperbanyakkan ibadah ruhiyyah ikhlas semata-mata kerana Allah.
Oleh itu qiyamullail merupakan salah cara membina rohani yang mantap dan seterusnya menjadi penjana jatidiri setiap mu’min. Usaha ini tentunya memerlukan azam, kekuatan, ketabahan, dan pengorbanan kerana nafsu, iblis dan tenteranya sentiasa berusaha memenuhi ruang dan peluang yang ada.
PENGERTIAN
Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.
SEJARAH QIAMULLAIL
Pada awalnya qiamullail wajib bagi rasulullah dan para sahabat. (Lihat surah al-Muzammil 1-10)
Namun setelah setahun disyari’atkan amalan itu menjadi sunad muakkad bagi setiap umat Islam .Namun ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W. (Lihat surah al-Muzammil 20)
SEBAB NUZUL AYAT
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Ibrahim al- Nakhi di mana Nabi sedang berselimut dengan lihaf maka Jibril datang menemui baginda dan menyampaikan wahyu.
HIKMAH QIYAMULLAIL
· Meningkatkan keimanan individu
· Meninggikan darjat disisi Allah
· Dapat beribadah dengan lebih khusyuk
· Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang
· Melatih diri menjadi insan bertakwa
· Melatih diri menperbanyakkan amalan sunat
· Mendidik jiwa melawan nafsu dan syaitan
· Menyedari bahawa manusia dicipta untuk beribadah
· Melatih diri mengharap keredhaan Allah
· Memberi ketenangan jiwa (emosi)
· Memberi kesihatan (fizikal)
· Menajamkan akal fikiran
· Meneguhkan kekuatan rohani
· Menambahkan rasa kekerdilan di sisi Allah dan bertawakkal kepadaNya.
· Melatih diri bersikap khauf(takut) dan roja’(berharap) kepada Allah .
· Dan lain –lain lagi hikmah ganjaran Allah untuk hamba-hamba ikhlas dan istiqamah
KELEBIHAN QIAMULLAIL
· Dimakbulkan doanya dan masin perkataan.
· Tenang hati dan fikirannya
· Dimurahkan rezeki
· Dihormati masyarakat
· Dilindungi Allah daripada khianat manusia.
· Jika dia pemimpin ,dia akan disegani
· Dan banyak lagi (Perlu difahami bahawa segala kelebihan adalah nikmat Allah bergantung kepada rahmat Allah . Allah berhak mengurniakan apa sahaja yang dikehendakiNya)
WAKTU-WAKTU QIYAMULLAIL
Waktu untuk solat malam ialah selepas isya’ sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.
Waktu yang paling utama ialah sepertiga malam terakhir.
“Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya.Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”
H.R. Jamaah selain At-Tarmizi
PANDUAN BANGUN AWAL
· Makan malam awal (sebelum Maghrib) dan tidak makan makanan yang berat selepas waktu Isya’
· Tidak melakukan bekerja terlalu penat pada waktu siang.
· Elakkan diri daripada melakukan daripada melakukan maksiat
· Berniat ikhlas mengharap keredhaan Allah
· Membaca tiga ayat terakhir Surah al-Kahfi dan niatkan dalam hati agar dapat bangun pada waktu yang diniatkan
· Mematuhi adab-adab tidur
ADAB-ADAB QIYAMULLAIL
· Berniat sebelum tidur untuk Qiyamullail
“Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya”
H.R. An-Nasai dan Ibn-Majah
Sanad Sahih daripada Abu Darda’ R.A.
· Tidur mengikut adab-adab yang digariskan
· Berdoa, bersuci, bersugi, berwudu’ dan memakai pakaian bersih setelah bangun daripada tidur
· Keluar dan memandang ke langit lalu berdoa(rujuk buku panduan qiamullail) dan membaca sepuluh ayat terakhir surah Ali-Imran
· Memulakan solat malam dengan solat dua rakaat yang ringan, selepas itu solatlah seberapa banyak yang disukai
· Membangunkan dan mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan turut serta berqiyamullail
“Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati Allah”
H.R. Abu Daud
Sanad Sahih drp Abu Hurairah R.A.
· Menghentikan solat dan tidur apabila mengantuk dan teruskan apabila hilang perasaan mengantuk
· Beribadah sekadar yang mampu lalu dikekalkan (istiqamah) dan jangan ditinggal kecuali darurat.
· Muhasabah diri berkenaan amalan dan perjalanan hidup kita sepanjang hari.
AMALAN-AMALAN SUNAT KETIKA QIYAMULLAIL
· Solat sunat tahajjud
“dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagimu. Semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari qiamat ditempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 79
“Sebaik-baik solat selain drp solat fardhu ialah solat malam”
H.R. Muslim
· Solat sunat tasbih, taubat, istikharah,hajat, mengqada’ solat fardhu, solat mutlak, dan solat sunat yang lain.
· Solat witir
· Berzikir, bertasbih dan bertahmid
· Membaca al-Quran
· Dan amalan-amalan lain seperti muhasabah dan memikirkan keagungan dan kekuasaan Allah
PENUTUP
Qiamullail merupakan sunnah Nabi, amalan para shiddiqin, orang –orang soleh,dan golongan yang mengakui kehinaannya di sisi Allah yang maha Pengasih dan Penyayang dan sebaik –baik ganjaran ,nikmat ,dan rezeki hanyalah Allah S.W.T.
Adakah kita tidak menyedari keutamaan mencontohi sunnah Rasulullah ? Adakah kita lupa kadar peratusan dosa dan maksiat yang tidak terhingga banyaknya dalam buku catatan di kiri dan kanan kita? Adakah amalan kita sudah mengatasi amalan para ‘abid yang bermujahadah dengan ibadah malam mereka?Adakah kita lupa bahawa hanya amalan dan taqwa yang menjadi bekalan pada masa yang telah dijanjikan itu ?...........
Marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan keilmuan, keimanan, ketaqwaan dan amalan kita agar kita sentiasa di bawah perlindungan dan inayah Allah dan seterusnya menghayati dan merealisasikan wawasan
khoiru ummah dan menjadi khalifah yang menepati segala amanah yang di pikul.
Masa depan agama bangsa dan negara di tangan kita…dan generasi yang akan datang merupakan amanah kepada kita…
Dan mampukah kita menjawab di hadapan Allah tentang keburukan,kemungkaran ,kemaksiatan dan kelemahan yang diwariskan kepada generasi akan datang
Yang mana kita turut mendapat bahagian dalam saham yang besar nilainya ini ?
Fikirkan dengan mata hati yang sentiasa dilimpahi nur Ilahi
RUJUKAN
· Al-Quran terjemahan Ar-Rahman
· Abdul Salam Mohd Zain.1999.Ingin tahu? Solat.Kuala Lumpur.UPD Sdn. Bhd.
· Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali.1997.Ulum Syariah Ting. 4.Ilham Abati Enterprise
· Imam Al-Ghazali(terj.).1998.Rahsia Hakikat Solat Mengikut Tauhid, Fekah dan Tasauf.Darul Nu ‘man
· Jainal Sakiban Johari.2003.Qiyamullail Amalan orang-orang soleh. Jabatan agama Johor.
· Khutbah jumaat.2003.Jabatan Agama Johor :Qiamullail .
· Jabatan Agama Johor . Himpunan solat –solat sunat .
+CREDITS TO: mykhilafah1924
No comments:
Post a Comment