Sunday, 25 November 2012

Siapa Luqman Al-Hakim ?

* Feel Free To Click On Other Related Post:

LUQMAN AL-HAKIM [AHLI HIKMAH]



Luqman Al-Hakim


Siapakah sebenarnya Luqman Al-Hakim…? 

Al-Quranul Karim tidak menjelaskan tentang biodata Luqman, sebaliknya sekadar memperincikan kata-kata hikmahnya yang begitu murni dan amat bernilai. Seandainya biodata Luqman merupakan suatu perkara yang penting, sudah tentu ia dipaparkan dalam Al-Quran. Meskipun demikian, tidak menjadi satu kesalahan, jika dihimpunkan segala perbicaraan ulama mufassirin tentang topik ini.



Berdasarkan riwayat-riwayat yang ma`thur Luqman berasal dari Nobiy yang terletak di Sudan, bahagian selatan Mesir. Beliau adalah seorang yang rendah, berkaki lebar dan terdapat pecah-pecahan yang berbelah, berbibir tebal, hidungnya pesek dan berkulit hitam. Ulama’ berselisih pendapat sama ada beliau seorang pengembala, tukang kayu, tukang jahit atau pengutip kayu api. 


Ar-Ruba’i menjelaskan: Luqman adalah seorang hamba dan beliau telah dibeli oleh seorang lelaki dari Bani Israel dengan harga 30 dinar setengah. Ulama’ juga berselisih pendapat sama ada Luqman seorang hamba ataupun tidak. Luqman pernah bertemu dengan Nabi Daud AS dan beliau juga merupakan seorang qodhi yang mengeluarkan fatwa kepada Bani Israeil. 


Bilamana diutuskan Nabi Daud, Luqman tidak lagi mengeluarkan fatwanya. Apabila ditanya kenapa beliau bersikap sedemikian, beliau menjawab:


ألا أكتفي إذا كفيت
Maksudnya: Tidaklah aku perlu mencukupkanmu, sedangkan engkau telah dicukupkan.


(Bahr Al Muhid–Abu Haiyan) Dalam tafsir Al-Muntakhab ada disebut bahawa terdapat nya dua orang Luqman iaitu: 


1) Luqman bin ‘Ad (sepertimana kenyataan Ibnu Ha-jar dalam Fathul Bariy) seorang yang popular dan terkenal. Kisah teladannya banyak terdapat dalam buku-buku sastera. 
2) Luqman Al-Hakim sepertimana yang diabadikan dalam Al-Quran. (Cetakan Majlis Al A`la Li As Syuun Al Islamiyyah: 213)


Ada riwayat yang mengatakan bahawa anak Luqman Al-Hakim tidak memeluk agama Islam,  justeru itu Baginda menyeru anaknya supaya mengesakan Allah ‘Azza Wa Jalla tidak mensyirikkan-Nya. Luqman terus memberi nasihat sehinggalah anaknya memeluk agama Islam. 


Demikian juga halnya dengan isteri Luqman. Menurut Ibn Abi Dunya: Luqman berterusan memberi nasihat kepada anaknya sehingga anaknya menghembus nafas nya yang terakhir.Ada juga riwayat yang mengatakan: Anak Luqman telahpun memeluk Islam, tegahan syirik dalam wasiat sebagai ingatan dan berwaspada kerana kemungkinan ia akan berlaku di kemudian hari.


(Ruh Al Ma`aniy: jil 7: ms 128)Ibn Hisham menyebut: 

Suwaid bin As Shomit tiba di Mekah dan membawa “Manuskrip yang mengandungi hikmah Luqman”, ia menunjukkannya kepada Rasulullah SAW. 


Maka Rasulullah SAW pun bersabda:


إن هذا الكلام حسن والذي معي أفضل قرآن أنزله الله عليّ هو هدى ونور، ودعاه للإسلام 

Maksudnya: Ini adalah ungkapan yang menarik, tetapi apa yang ada padaku adalah lebih baik, iaitu Al-Quran yang diturunkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla kepadaku. Ia adalah petunjuk dan nur. Lalu Baginda menyerunya kepada agama Islam.

Diriwayatkan bahawa seorang yang berkulit hitam telah datang kepada Saeid Ibn Musaiyab dan bertanya kepada beliau. 


Lalu beliau menjawab: Janganlah bersedih lantaran kulitmu berwarna hitam. Sesungguhnya terdapat tiga orang (berkulit hitam) berada dalam golongan manusia yang terbaik iaitu: Bilal, Muhajji’ hamba kepada Umar Ibn Al-Khattab dan Luqman Al-Hakim.(Tafsir Al Tobariy: jil 20: ms 26)  Wallahu'alam.


.

No comments:

Post a Comment