Sunday, 19 May 2013

Imam Ja’far al-Sadiq AS Pada Zaman Pemerintahan Bani Abassiyyah

........................................................ 
Nota Eva Talya: [ Salam. Blog ini bukanlah blog syiah. Adapun sahaya mendokong Ahlul- Bayt dan kemuliaan para wali Allah dari dzuriat turunan Baginda Rasulullah SallaAllahu 'Alayhi Wassalam ]

There are another 11 related posts under key words Imam Ja'afar As-Sadiq in this blog. Feel Free to refer to the LABEL under tag "JA'AFAR AS-SADIQ" @ AHLUL BAYT. Thanks.
........................................................ 




+Credits to: HitamPutih Ahli Sufi


Abu al-Abbas dilantik sebagai khalifah pada tahun 132 Hijrah. Abu al-Abbas menyerahkan tugas menghapuskan Marwan bin Muhammad, pemerintah Bani Umayyah terakhir kepada bapa saudaranya Abdullah bin Ali. Setelah pertempuran yang hebat d tebing Sungai Zab, anak Sungai Tigris, Dinasti Umaiyyah mengalami kekalahan. Marwan melarikan diri ke Palestin dan kemudian ke Mesir. Di sana beliau dibunuh pada 27 Dzul Hijjah 132 Hijrah.

Abu Salamah kemudian turut dibunuh oleh khalifah Abu Abbas al-Saffah kerana sikap pro-Alawiyyahnya.


Pemerintahan al-Saffah berlangsung selama empat tahun. Pada zamannya, ramai penyokong Bani Umaiyyah dibunuh. Pembunuhan berlaku di kota-kota besar seperti Mekah, Madinah, Kufah dan lain-lain lagi. Imam Ja’far al-Sadiq AS pula di bawa ke Hirah, Iraq. Al-Saffah memaksa Imam al-Sadiq AS tinggal di Hirah di bawah pengawasannya. Tidak lama kemudian Imam al-Sadiq AS dibenarkan kembali ke Madinah.


Selepas kematian al-Saffah, Abu Ja’far bin Muhammad al-Mansur pula menaiki takhta. Beliau menahan Imam Ja’fart al-Sadiq AS dan membawanya ke Samarra dan akhirnya dizinkan kembali ke Madinah.


Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah menolak baiah kepada al-Manusr. Akibatnya, pada tahun 140 Hijrah, al-Mansur memutuskan memaksa al-Nas al-Zakiyyah dan saudaranya Ibrahim membaiahnya. Perintah dikeluarkan untuk menangkap Abdullah al-Mahdi dan pemuka-pemuka Alawiyyah yang lain. Gerakan al-Nafs al-Zakiyyah mendapat sokongan ahli Hadith Madinah. Malik bin Anas memberi fatwa bahawa baiah yang diberikan kepada al-Mansur adalah tidak sah kerana ia dilakukan secara paksa. Pertempuran berlaku di antara al-Nafs al-Zakiyyah dan tentera al-Mansur pada tahun 145 Hijrah. Hasilnya pasukan al-Nafs al-Zakiyyah ditumpaskan dan Muhammad sendiri terbunuh. Selepas kegagalan al-Nafs al-Zakiyyah, saudaranya Ibrahim mengumpulkan penyokong-penyokongnya di Basrah. Masyarakat Kufah dan Basrah menyokong gerakan yang dipimpin oleh Ibrahim itu. 

Abu Hanifah yang pada suatu ketika dulu mengeluarkan fatwa menyokong gerakan Zaid bin Ali menentang khalifah Hisham bin Abdul Malik, kini turut mengeluarkan fatwa yang menyokong perjuangan Ibrahim menentang al-Mansur. Walau bagaimanapun gerakan Ibrahim turut menemui kegagalan. Ibrahim sendiri terbunuh bersama-sama pengikut-pengikutnya.


Pada zaman pemerintahan al-Mansur, Imam Ja’far al-Sadiq AS mengarahkan para pengikutnya berdiam diri dan menunjukkan sikap patuh kepada al-Mansur. Imam AS berpesan:” Hendaklah kamu semua berdiam diri dan menunjukkan sikap patuh kerana kamu sedang berada di bawah penguasaan seorang raja yang mempunyai tipu daya yang kerananya gunung pun boleh runtuh.”


Walau bagaimanapun, al-Mansur tidak berpuas hati dengan sikap Imam AS dan para pengikutnya itu kerana mereka semua menganggap Imam Ja’far al-Sadiq AS sebagai Imam kaum Muslimin dan bererti kedudukannya lebih tinggi daripada al-Mansur. 

Muhammad Asqanturi berkata:” Aku pergi menemui al-Mansur dan mendapati beliau sedang berfikir. Aku bertanya kepada beliau mengapa beliau murung demikian?” 

Mansur menjawab:” Aku telah membunuh lebih daripada seribu keturunan anak perempuan Muhammad tetapi aku masih belum membunuh pemimpin mereka.” 

Mansur berkata:” Aku tahu engkau menganggapnya sebagai Imam dan percaya dia itu adalah Imam kepada diriku, Imam engkau dan Imam seluruh dunia. Walau bagaimanapun aku harus menemuinya sekarang.”



Riwayat di atas menunjukkan dendam al-Mansur kepada Imam Ja’afar al-Sadiq AS. Lebih-lebih lagi ajaran Imam Ja’far al-Sadiq AS telah berkembang pesat pada ketika itu dan dikatakan seorang daripada wazir al-Mansur yang bernama Rabi’ adalah seorang syiah. Di dalam al-Iqdul Farid diriwayatkan bahawa pada suatu ketika al-Mansur sampai ke Madinah dalam perjalanannya untuk ke Mekah, beliau meminta Rabi’ mengundang Imam Ja’far al-Sadiq AS menemuinya. Beliau berkata,” Semoga Allah membunuhku jika aku tidak membunuhnya.” 

Rabi’ sengaja melambat-lambatkan undangan itu tetapi akhirnya terpaksa menunaikan perintah atas perintah al-Mansur. Kemudian beliau menjemput Imam untuk bertemu dengan al-Mansur. Ketika Imam sampai, mulutnya seperti mengucapkan sesuatu. Beliau mendekati al-Mansur dan memberikan salam. Al-Mansur berkata: ” Wahai Allah! Semoga engkau dihinakan. Engkau telah membuat angkara di wilayah-wilayahku. Semoga Allah membunuhku jika aku tidak membunuh engkau.”



Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata:” Nabi Sulaiman mendapat takhta kerajaan dan beliau bersyukur kepada Allah. Nabi Ayyub mengalami penderitaan tetapi beliau menghadapinya dengan tabah. Nabi Yusuf ditindas dan beliau memaafkan si penindas. Kamu menggantikan mereka dan amat patut kamu mengikuti jejak mereka.”



Al-Mansur kemudian mengangkat kepalanya lalu berkata,” Kamu lebih dekat kepada kami dan kerabat kami yang paling hampir daripada suku-suku lain.” Beliau lalu memeluk Imam AS dan mendudukkannya di atas permaidani dan memulakan percakapan. Selepas itu beliau memerintahkan,” Bawakan hadiah dan pakaian untuk Sadiq…”



Apabila Imam yang suci itu keluar dari situ, Rabi mengekori dari belakang dan berkata,” Selama tiga hari saya mempertahankan anda dan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anda. Apabila anda menemui al-Mansur aku melihat bibirmu bergerak-gerak dan tiba-tiba dia tidak dapat berbuat apa-apa yang menyakitimu. Sebagai seorang yang bekerja untuk raja, saya amat memerlukan doa yang anda bacakan itu. 

Imam berkata,” Katakan: 

Wahai Allah! Lindungi aku dengan mataMu yang tidak tidur, peliharakan diriku dengan kekuasaaanMu yang tidak akan menjadi sasaran kebinasaan, yang memungkinkan diriku tidak binasa, kerana Engkaulah segala harapanku yang ditujukan. 

Wahai Tuhanku! Ampunkan diriku, justeru Engkau telah mengurniakan diriku pemberian-pemberian yang melimpah, yang aku tidak dapat membalasnya, walaupun demikian Engkau tetap tidak menarik balik segala pemberian-pemberian itu dan banyaklah bencana yang menimpa diriku yang aku tertakluk olehMu, tetapi aku kurang kesabaran. 

Wahai Tuhan! Peliharakanlah diriku dengan keselamatan daripda tipudaya dengan bantuanMu dan kekuasaanMu dan aku memohon perlindungan dalam rahmatMu daripada kejahatan.”



Syaikh al-Mufid meriwayatkan kisah yang sama dalam versi yang lebih panjang seperti berikut:


” Al-Mansur memerintahkan Rabi’ membawa Abu Abdillah Ja’far AS menemuinya. Dia (Rabi’) membawa Imam Ja’far AS mengadap al-Mansur. Apabila al-Mansur melihatnya, dia berkata,” Semoga Allah membunuhku, jika aku tidak membunuh kamu. Kamu cuba mengancam kekuasaanku dan kamu cuba mengkhianatiku.”


” Demi Allah, tidak demikian, ” balas Abd Abdillah AS.

” Aku juga tidak bermaksud demikian. Jika anda telah diberitahu demikian, itu adalah satu pembohongan. Walau bagaimanapun, jika memang aku telah melakukan demikian, Nabi Yusuf telah dilayan dengan buruk dan beliau memaafkannya, Nabi Ayub menderita dan beliau bersabar, dan Nabi Sulaiman menerima anugerah kekayaan dan beliau bersyukur. Orang-orang ini adalah Nabi-nabi dan keturunanmu bersambung dengan mereka.”


” Memang benar, ” balas al-Mansur. ” Marilah ke sini.”


Imam bangun dan duduk di sisi al-Mansur dan kemudian al-Mansur menyambung:” Sipolan bin sipolan telah melaporkan kepadaku tentang apa yang telah anda katakan.”


” Bawa dia ke sini Amirul Mukminin,” Imam menjawab,” supaya dia boleh berhujah denganku tentang perkara itu.”


Lelaki berkenaan dibawa ke hadapan mereka dan al-Mansur mengemuka soalan kepadanya:

” Adakah engkau benar-benar mendengar apa yang telah engkau laporkan kepadaku tentang Ja’far?”

Ia, benar,” lelaki itu menjawab.

” Bersumpahlah,” kata Abd Abdillah AS.

” Adakah engkau sanggup bersumpah untuk itu?” kata al-Mansur.

” Aku bersumpah,” jawab lelaki itu.



” Katakan: Aku berlepas diri dari kekuasaan Allah dan kekuatanNya dan aku berlindung kepada kekuasaan dan kekuatanku sendiri jika aku berbohong tentang Ja’far yang telah melakukan hal-hal tersebut dan telah berkata seperti yang telah aku laporkan,” kata Abd Abdillah.


Lelaki itu diam sejenak dan kemudian melafazkan sumpah sepertimana yang diajarkan oleh Imam Ja’far AS tetapi tidak sampai beberapa detik kemudian, kakinya menjadi kaku (mati).


” Heret dia keluar, semoga Allah melaknatinya,” seru Abu Ja’far al-Mansur.


Al-Rabi’ melaporkan:” Apabila Ja’far bin Muhammad AS menemui al-Mansur aku menyaksikan kedua bibirnya bergerak-gerak. Apabila kedua bibirnya digerakkan, kemarahan al-Mansur menjadi reda, justeru, apabila Imam Ja’far AS mendekatinya, beliau (al-Mansur) kelihatan menyukainya. 

 Apabila Abd Abdillah AS keluar dari majlis itu, aku mengekorinya dari belakang dan berkata kepadanya:” Orang tadi (al-Mansur) adalah orang yang paling marah terhadap anda. Apabila anda masuk ke dalam, anda mengerak-gerakkan kedua bibir anda dan ketika kedua bibir anda bergerak-gerak, marahnya menjadi reda. 

Dengan perkataan apakah anda mengerakkan kedua bibir anda tadi?”

” Dengan doa datukku al-Husayn bin Ali AS,” beliau menjawab.

” Semoga diriku menjadi tebusanmu,” aku berkata,” Apakah doa itu?”


Beliau memberitahuku:


” Wahai Yang Memeliharaku di saat kesusahan, Wahai Penolongku ketika menghadapi bencana, lindungi diriku dengan mataMu yang tidak tidur, lindungi diriku dengan bentengMu yang tidak boleh ditembusi (oleh sesiapa).”


Al-Rabi’ melaporkan:” Aku mempelajari doa itu dan tidak pernah menghadapi saat kesusahan.”


Pada ketika itu, aku bertanya kepada Ja’far bin Muhammad AS:” Mengapa anda melarang pembohong itu daripada bersumpah dengan nama Allah?”

” Aku menahannya (daripada bersumpah dengan nama Allah) kerana Allah SWT akan menyaksikan lelaki itu memuji KeesaanNya dan memuliakanNya,” beliau menjawab, ” kerana hal itu Dia akan menangguhkan hukuman ke atasnya. Oleh yang demikian, aku memintanya bersumpah dengan cara yang engkau dengar tadi dan Allah menimpakan bala yang dahsyat ke atasnya (pada saat itu juga).”


Sebelum peristiwa itu berlaku, Imam J’afar al-Sadiq AS dituduh memungut zakat untuk diberikan kepada Muhammad al-Mahdi yang menentang al-Mansur. Imam al-Sadiq AS juga dituduh menyokong pemberontakan Muhammad bin Abdullah dan saudaranya Ibrahim bahkan Imam Ja’far AS juga dituduh sebagai dalang di belakang pemberontakan tersebut. 


Pada hakikatnya semua tuduhan-tuduhan itu tidak benar. Walau bagaimanapun al-Mansur telah menggunakan ancaman yang keras dalam penyiasatannya terhadap Imam Ja’far al-Sadiq AS. Al-Mansur tidak memperdulikan sinar hidayah, kebaikan, kehormatan kerabat, silaturahim dan darjat ilmu Imam Ja’far al-Sadiq AS. Pada suatu ketika dialog antara Al-Mansur dengan Imam AS. 

Imam Al-Sadiq AS dipanggil ke istana al-Mansur kerana beliau AS dituduh menulis surat kepada penduduk Khurasan supaya membatalkan baiah kepada al-Mansur:

” Engkau ini wahai Ja’far tidak pernah memadamkan hasad dengkimu dan pencerobohanmu terhadap Ahlul Bayt Bani Abbas dan kamu merosakkan harta mereka. Dengan demikian Allah SWT menambahkan lagi perasaan hasad dengki dalam hatimu dan dengannya engkau sampaikan apa yang telah kamu mampu membuatnya.”



Al-Imam al-Sadiq AS menjawab:

” Demi Allah SWT wahai Amirul Mukminin. Aku tidak membuat sesuatu daripada apa yang kamu katakan. Di zaman kekuasaan Bani Umaiyyah, pada hal kamu tahu mereka itu adalah manusia yang paling memusuhi kami dan kami tahu sesungguhnya mereka itu tidak berhak di dalam pemerintahan ini, namun demikian demi Allah SWT aku tidak pernah memberontak terhadap mereka dan mereka tidak pernah menerima sebarang gangguan dariku. Bagaimanakah kini aku membuat semua ini padahal engkau adalah sepupuku, kerabatku yang paling dekat, yang paling pemurah dan paling ikhsan kepada kami? Bagaimanakah aku boleh berbuat sedemikian rupa?”



Lalu al-Mansur terdiam seketika. Kemudian dia menyambung lagi:

” Wahai Ja’afar, tidak malukah engkau dengan usiamu yang tua ini, dengan nasab keturunan ini, tetapi bercakap perkara yang batil, memecahbelahkan kekuatan Muslimin, bercita-cita untuk menumpahkan darah dan menyebarkan fitnah di kalangan rakyat jelata dan wali Allah SWT?”


Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata:

” Tidak demi Allah SWT! Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak berbuat demikian. Ini bukan suratku, bukan tulisanku dan bukan cop mohor cincinku.”


Lantas Al-Mansur menghunus pedangnya dan menyoal Imam AS bertalu-talu. Imam Ja’afar AS tetap menafikan segala tuduhan tersebut. Kemudian al-Mansur memasukkan pedangnya semula ke dalam sarung. Lantas diam seketika dan kemudian berkata:


” Aku menyangka bahawa engkau memang benar.”


Demikianlah bagaimana Ja’afar al-Sadiq AS menjawab segala tuduhan itu dengan lembut dan bernas tetapi al-Mansur berkata kepadanya dengan bahasa yang kasar dan keras.


Doktrin taqiyyah merupakan ajaran Ahlu Bayt AS yang bertujuan untuk memelihara diri dan yang lebih penting untuk menjamin ikhtiar hidup Islam yang dibawa oleh Ahlul Bayt AS. Lantaran ini Imam al-Sadiq AS mengarahkan para pengikutnya mengamalkan taqiyyah pada keadaan-keadaan yang menuntut taqiyyah. 

Taqiyyah menjadi haram jika ia menyebabkan jiwa orang lain terancam. Al-Kulaini meriwayatkan dalam al-Kafi bahawa Imam Ja’afar al-Sadiq AS berkata kepada Mua’lla ibn Khunays,

” Peliharalah urusan kami dengan segala rahsia dan janganlah engkau membocorkannya di khalayak ramai, kerana barang siapa merahsiakan dan tidak mendedahkannya, Allah akan memuliakan dirinya di dunia dan dijadikanNya nur di antara kedua matanya di akhirat, memandunya ke syurga. Wahai Mua’lla! Barang siapa yang membocorkan urusan kami di khalayak ramai dan tidak menyembunyikannya, Allah akan menghinakannya di dunia dan akan menarik balik nur di antara kedua matanya di akhirat, dan akan dijadikanNya kegelapan untuknya yang akan membawanya ke neraka. 

Wahai Mu’alla, sesungguhnya taqiyyah adalah Dinku dan Din bapaku dan seseorang yang tidak mengamalkan taqiyyah tidak mempunyai Din. Wahai Mu’alla, Allah menyukai seseorang yang beribadat secara sirr (sembunyi) sebagaimana juga Dia menyukai seseorang yang beribadat secara terang-terangan. Wahai Mu’alla barang siapa yang mendedahkan urusan kami, ia adalah seperti orang yang tidak mempercayainya.”



Doktrin taqiyyah memang mempunyai dasar dalam al-Qur’an Al-Qur’an surah 16:106, bermaksud:” Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah beriman (dia mendapat kemurkaan Allah) kecuali orang yang terpaksa padahal hatinya tetap dalam iman.”


Namun demikian, Mu’alla sendiri telah dibunuh oleh Dawud bin Urwah kerana keenggannya mendedahkan nama-nama orang Syiah. Kisahnya sebagaimana dicatatkan oleh Muhammad Jawad Mughniyyah seperti berikut:


“Mu’alla bin Khunays adalah di antara orang-orang yang rapat dengan Imam Ja’afar al-Sadiq AS. Beliau menguruskan hal ehwal kewangan Imam Ja’far AS yang suci itu. Mansur menulis kepada Dawud bin Urwah, gabenor Madinah, memerintahkan supay Mu’alla dibunuh. Dawud memanggil Mu’alla dan berkata kepadanya:


” Tuliskan nama-nama orang syiah yang engkau ketahui. Sekiranya engkau tidak mahu memberikan kerjasama, aku akan pancung kepalamu.”


” Mu’alla berkata:” Adakah engkau akan mengancam aku dengan kematian? Aku bersumpah dengan nama Allah seandainya salah seorang nama mereka berada di bawah tapak kakiku, aku tidak akan mengangkat kakiku itu.”


Dawud kemudian memenggal kepala Mu’alla dan menggantungnya.


Di kalangan pengikut-pengikut Imam AS, taqiyyah diamalkan sesuai dengan ajaran Ahlul Bayt AS. Al-Kulaini meriwayatkan dari Abi Khalid Shaynulah (beliau) berkata:


” Aku bertanya Abu Ja’afar al-Thani AS (Muhammad al-Taqi AS),semoga diriku menjadi tebusanmu, pemimpin-pemimpin kami dalam hadith-hadith meriwayatkan dari Abu Ja’afar AS (Muhammad al-Baqir AS) dan Abu Abdillah AS (Ja’far al-Sadiq AS) dan pada masa itu mereka terpaksa bertaqiyyah. 

Mereka lazimnya menyembunyikan tulisan-tulisan mereka dan seterusnya kitab-kitab ini tidak pernah dijadikan petikan (dalam meriwayatkan hadith-hadith). Sekarang mereka telah meninggal dunia dan kitab-kitab yang tersembunyi itu telah kami temui. Mendengar ini, Imam AS berkata:


“Riwayatkan dari kitab-kitab tersebut kerana kitab-kitab tersebut adalah benar.”
.

No comments:

Post a Comment