Tuesday, 26 February 2013

AMALAN HATI ~ AYAT TUJUH (7) : ‘AYAT MUNJIYAT’ @ AYAT PENYELAMAT

Salam to All of You.

The day has come for me to write again,  further about Ayat & Amalan.
Juga seperti biasa, saya TIDAK BERMINAT hendak memaparkan faedah, kebaikan, kelebihan, fadhilat khasiat dan kaifiat mengenai AYAT 7 (TUJUH) yang akan saya perpanjangkan postingnya selanjutnya. 

Secara fitrahnya manusia mahu bahagia. Idamkan pelbagai manfaat untuk kebaikan diri. Mau mengesampingkan unsur-unsur negatif yang tak disenangi seperti fitnah & perbuatan khianat. Kebanyakan manusia mahukan yang positive-positive sahaja mari kepada nya. Mahukan kan wangi-wangi aja meliputinya. Kepingin akan yang indah nian sahaja menjadi miliknya. Damba kan yang muluk-muluk, elok bagus bahagianya dari segenap perkara menjadi hak dia.

Kalo ada yang tertekan dengan pergolakan duniawi, nescaya ada yang mahu segera lolos dan merdeka dari belenggu tekanan yang menghimpit... kan?

Tidak keterlaluan dikatakan manusia itu mahukan Allah agar memudahkan rezekinya, dipanjangkan umur, terpelihara dari gangguan jin, syaitan, fitnah dan dikasihi hamba-hamba Allah serta dimudahkan atau dikabulkan segala apa yang dicita-citakannya.



Ringkasnya, oleh kerana saya TIDAK BERMINAT nak ulas berkenaan khasiat, berkenaan kelebihan ayat... maka senang bicara saya simpulkan bahawa ianya adalah satu amalan hati untuk menetapkan pergantungan kita kepada Allah setiap masa. Baca dan fahami maksudnya. Bukan pergantungan kita kepada ayat dan amalan. Ini adalah semata-mata untuk melembutkan hati yang keras dan degil supaya tetap hanya pada Allah. Semua adalah untuk kita hayati dan kerana Allah s.w.t.

Fadhilat : Tiada apa-apa pun boleh memudaratkan selain dari Allah. Di amalkan setiap Solat Subuh & Solat Maghrib. Amalan ini juga di kenali dengan Ayat Tujuh (Ayat 7)

Pati atau essence nya ialah:  Berserahlah secara total. Penyerahan mutlak, pasrah, redha (tanpa memberontak, merengus, mengeluh, mengomel, mempertikaikan, mempersoalkan ... kenapalah , kenapa ni, pasal apa jadi macam ni ... ) hanyalah Dia tempat kita bergantung dan hanya kepada Dialah tempat kita berlindung, hanyalah Dia tempat mengadu serta meminta… bukan kepada makhluk kerana makhluk tiada kuasa apa-apapun. Allahlah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Allah is The Only DOMINATOR, DETERMINATOR.  Tak usah menyangkal lagi.

“Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. Kalau kita hayati sepenuhnya, hati kita akan jadi lebih teguh, jiwa kita lebih tenang dan kita tidak akan takut dan gusar menghadapi apapun karenah duniawi ini…

Ayat Tujuh juga dipanggil  ‘AYAT MUNJIYAT’ @ AYAT PENYELAMAT adalah terdiri daripada gabungan rangkaian 7 ayat yang diambil dari 6 surah dalam Al Quranul Karim. Ayat ini telah diamalkan oleh para alim ulama’ sejak dahulu lagi yang mana ianya turut terkumpul dalam kitab ‘Majmu’ syarif’.
.
Ayat Tujuh atau Ayat Munjiyat yang dikenali sebagai ‘Ayat-Ayat Pelindung & Penyelamat’ ini juga baik sekali dibaca dan diamalkan. Ia telah dibuktikan dari pengalaman Ibnu Sirrin r.a. sebagai ayat-ayat penyelamat dari berbagai kesusahan dan kesulitan.
.
So now? Ternyata posting saya kali ini jelas tidak kedapatan frasa-frasa "BARANGSIAPA MENGAMALKAN...." ataupun "BARANGSIAPA MEMBACA .... " :P


Lazimkanlah dzikrullah sebagai ubat dan penawar segalanya. Salah satu daripada dzikrullah adalah membaca al-Quran. Dampingi dan hayati kalam kalam Allah yang Maha Agung pasti akan temui jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang kita hadapi.

Di bawah ini ada beberapa ayat yang dipetik daripada Al-Quran yang digelarkan oleh para ulama' dahulu sebagai Ayat Tujuh. Mudah-mudahan dengan berpasakkan keyakinan terhadap Allah kita akan tabah menghadapi setiap ketentuanNya. Bersamalah kita mengamalkannya




1.Surah At Taubah - Ayat 51
2.Surah Yunus - Ayat 107
3.Surah Hud - Ayat 6
4.Surah Hud - Ayat 56
5.Surah Al Ankabut - Ayat 60
6.Surah Fathir - Ayat 2
7.Surah Az Zumar - Ayat 38

SURAH AT-TAUBAH AYAT 51

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُون

RUMI : QUL-LAY-YUSIIBAN-AAA ~ ILLA MAA KATABA-ALLAH-U LANA ... HUWA MAWLAA-NA ... WA'LAA-ALLAH-I FAL-YA-TAWAKKAL-I-L-MU'MINUUN-A.


Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”


SURAH YUNUS  AYAT 107

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ  مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ


RUMI : WA-INYYAM-SAS-KA-ALLAH-U BI-DHURRINMFALAA KAASYIFA LAHUUU ILLAA HUWAA ... YA-INYYURID-KA BI-KHAIRINMFALAA RHODDD-A LI-FHOD-LIH-II ... YUSII-BU BIH-II MAIY-YASYAAA' -U MIN 'I-BAADIH-II .. WA HUWA-AL GHAFUUR-UR-RAHEEM-A


“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia melimpahkan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
.
SURAH HUD AYAT 6

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah jualah yang memberi  rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luuh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

SURAH HUD AYAT 56

إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُم ۚ مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah jualah yang memberi  rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luuh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

SURAH AL-ANKABUT AYAT 60

وَكَأَيِّن مِّن دَابَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak  (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendir, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

SURAH AL-FATHIR AYAT 2

مَّا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا ۖ وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِن بَعْدِهِ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tiada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dialah sahaja yang Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”

SURAH AZ-ZUMAR AYAT 38

 وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلْ أَفَرَأَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ    أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ رَحْمَتِهِ  ۚ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ  ۖ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah Allah bagiku (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah bertawakkalnya orang-orang yang mahu berserah diri.”

.

Monday, 25 February 2013

Artikel Pilihan : SEMAKIN HILANGNYA ADAB DALAM DIRI MANUSIA (Muhammad Qul Amirul Hakim)

Adapun saya agak tertarik dengan laras bahasa spontan dan contoh-contoh yang dekat ditampilkan oleh penulis artikel pilihan saya kali ini.
Something good to share.

-----------------------------------------------------

Assalamu'alaikum,

Alhamdulillah, ini artikel pertama dalam tahun 2013... Kemasukan tahun baru Masihi bagi hamba tidaklah penting sepenting Tahun Hijrah.  Hairannya, ghairah betul 'umat Islam' menyambut tahun baru ini dengan pelbagai upacara dan kegiatan maksiat, berbelanja mewah dengan percikan bunga api di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar-bandar besar yang lain.  Berapa banyak syarikat korporat berbelanja di jalan Allah berbanding berbelanja percikan bunga api selama 15 minit berturut-turut....Apa yang kita dapat dengan melihat pertunjukan bunga api???? Keseronokan yang bersifat sementara!!!  Benarlah sepertimana sabda Nabi SAW, kita ikut kaum Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit!!! Tahun baru Masihi hanya penting kerana tamadun hari ini menggunakannya sebagai tanda aras masa. Masa memanglah penting dan merupakan parameter wajib dalam setiap apa yg kita lakukan. Allah Taala "bersumpah dengan waktu Asar, Fajar dan Dhuha dalam Al-Quran".  Maksudnya apa yang kita lakukan, ibadat dengan Allah, urusan dengan keluarga, aktiviti pekerjaan dan lain-lain wajib diiukur dengan masa...itu maksud hamba "parameter wajib".


Sebenarnya hamba memang banyak perkara nak menulis. Ada 'masalah' sedikit dengan blogspot. Alhamdulillah, hari ni dah selesai. Kisah ekspedisi selatan akan disambung selepas ini dan kemudian diikuti dengan kisah ke Pulau Langkawi.  Satu perkara hamba nak sentuh kali ini adalah berkaitan dengan semakin hilangnya adab dalam kehidupan manusia.  Di atas jalan raya, hamba sering terserempak dengan pemandu-pemandu wanita yang "kurang ajar di atas jalan raya", mementingkan diri sendiri, potong ikut suka, nak lepaskan dia saja dan macam2 aksi. Hairannya, pemandu-pemandu wanita ini bertudung pulak tu... dulu-dulu kita mungkin anggap kalau pemandu lori buat macam ni biasalah, sekarang, dah jadi lumrah pemandu wanita tidak beradab di jalan raya.  


Hamba terfikir, adakah ibu-bapa pemandu-pemandu wanita ini tidak dididik dengan adab-adab di rumah dan di luar rumah. Hamba selalu ingatkan anak sulong hamba (perempuan) apabila berhadapan dengan pemandu-pemandu wanita yang tidak beradab ini, bila besar jangan buat macam ini.  Banyak kali juga hamba berhadapan dengan pemandu lelaki yang berkopiah dan berserban yang sengaja langgar peraturan jalan raya dan mementingkan diri sendiri. Isunya, manusia mungkin semakin elok di pandangan mata zahir dalam berpakaian tetapi tetap tidak elok di pandangan batin apabila tidak beradab...

Hilangnya adab dalam diri manusia antaranya kerana tiadanya amalan-amalan hati, tiadanya jiwa tasawuf di dalam diri. Maka nafsu yang merajai diri, akibatnya kepentingan diri sendiri adalah paling utama, kepentingan masyarakat, kesejahteraan masyarakat perkara kedua. Antara bahaya Facebook dan internet adalah anak-anak muda pandai bergaul secara maya, tetapi janggal, tidak pandai, tidak beradab apabila bergaul secara nyata.  Maka apabila berjumpa, bahasa-bahasa dalam FB dan internet digunakan dan semakin keluarlah kurang adabnya dan lain-lain.  Apabila hamba melawat beberapa syarikat swasta baru-baru ini atas urusan kerja, ini juga rungutan mereka. Graduan universiti masa kini tidak tahu bahasa rasmi dalam surat rasmi dan urusan perniagaan. "Bahasa rasmi" mereka dalam internet itu mahu digunakan apabila berurusan dalam dunia perniagaan!!! Dan perkara ini tidak mengenal bangsa, maksudnya generasi Y ini begitu, tidak kira berbangsa Melayu, Cina, India mahupun datang dari luar negara.



Semalam, semasa dah nak bersolat Jumaat, seorang pemuda yang baru masuk ke ruang solat, terus datang ke tempat anak ketiga hamba (6 tahun lebih/tahun satu) yang berdiri di sebelah abangnya dan suruh anak hamba itu ke belakang (tak ada tempat untuk anak hamba bersolat sebab saf belakang pun dah penuh). Kebetulan kedua anak hamba itu tidak bersolat sebelah hamba. Hamba yang memerhatikan keadaan ini terus "sound" a.k.a tegur pemuda itu, anak hamba dah lama dok situ, tak boleh buat macam itu. Terus pemuda  tersebut ke tempat lain...Agaknya, dia ingat budak-budak dia boleh suruh ikut-suka...Kalau anda kaji peristiwa ini, nak mendirikan Fardhu Ain pun umat Islam dah menzalimi orang lain kerana "mengambil hak orang lain". Itu juga sifat mementingkan diri sendiri, dia seorang ke yang wajib bersolat, tidak beradab di rumah Allah, juga contoh hilangnya adab dalam diri manusia. Kalau saf masih kosong dan tidak padat hamba pun boleh terima kalau nak menyelit-nyelit, ni dah padat sangat dah...banyak tempat kosong di luar, nak solat di dalam tetapi mementingkan diri sendiri...kalau nak solat kat dalam, datanglah awal sedikit.

Ini bahana apabila pendidikan rasmi sama ada di sekolah kerajaan mahupun swasta, sama ada sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama tidak mensepadukan amalan-amalan hati dalam diri pelajar. Hamba memang hantar anak-anak ke sekolah agama, tetapi kalau bab amalan-amalan hati, kita sebagai ibu-bapa kena "tambah sendiri", kena pantau sendiri. Sekolah agama hanya ajar perkara syariat sahaja pada umumnya, tetapi kurang pada amalan hati.  Tidak sempurna Islam tanpa amalan-amalan hati. Tidak tercerna dan bersinar adab dan akhlak yang mulia tanpa amalan-amalan hati. Kena didik anak dengan amalan-amalan hati dari kecil, tambah sedikit demi sedikit. Amalan hati paling mudah adalah zikrullah, ajar anak sebut Allah, Allah, Allah dalam hati, bukan susah pun. Mulakan dengan 100X selepas solat Maghrib, kemudian jadikan 200X, 300X dan seterusnya. Mula-mula mungkin berat pada anak, tapi lama kelamaan, Insya-Allah, akan semakin lekat di dalam hati mereka.   Begitu juga dengan solat, dari kecil ajak mereka solat berjemaah dengan kita, lama-lama tidak berat pada mereka. 


Berzikir Allah, Allah, Allah di dalam hati akan mengingatkan kita pada fitrah kejadian. Umumnya ia dianggap sunat pada hukum syariat tetapi dipegang "wajib" pada ahli tasawuf kerana ia perhubungan kita dengan Allah. Tidak ada perhubungan yang terpenting dalam kehidupan di dunia melainkan perhubungan kita dengan Allah. Itulah "tali Allah" pada  sebahagian ahli tasawuf. Itulah "tali agama" yang tidak boleh putus. Itulah amalan hati yang utama, senang diucap di dalam hati tetapi susah diamal secara berterusan.  Itulah amalan membersihkan semula jantung (hati) dalan tubuh badan manusia. Itulah amalan RSAW yang mulia. Itulah amalan untuk membuang sifat-sifat terkeji dan menggantikan dengan sifat-sifat terpuji di dalam hati dan diri. Itulah jua amalan awal dan utama dalam "awal agama mengenal Allah"...Masakan dapat dikenal diri-NYA jika nama-NYA pun tidak mahu disebut, diingat...Maka lazimkanlah kita menyebut Allah, Allah, Allah di dalam hati sebanyak mungkin, seingat mungkin...Hanya jauhari yang mengenal maknikam. Dalil? Rujuk wahyu yang pertama ...


Zikir Allah, Allah, Allah di dalam hati ini juga dipanggil zikir dalam, zikir sir, maka ia tidak terikat dengan waktu, keadaan, dan tempat. Anda boleh melakukannya walaupun semasa berhadas besar, semasa di tempat "menyahut panggilan alam" dan pelbagai keadaan....Berzikir Allah, Allah, Allah akan memperbaiki adab, kelakuan dan akhlak kita. Tak percaya? Tahan nafas, zikir Allah, Allah, Allah banyak-banyak dalam hati, sekurangnya 100X dalam satu nafas. Kalau peringkat awal, tak dapat 100X satu nafas  pun tak apa. Amalkan zikir Allah, Allah, Allah (dalam satu nafas) ini selama 5 minit contohnya ataupun 7 minit ataupun berapa minit pun tak apa asalkan sama minitnya dan berterusan selama 44 hari berturut-turut. Insya-Allah, anda akan melihat sendiri hasilnya...

Hamba sendiri bukanlah elok adab kelakuan. Banyak lagi yang perlu diperbaiki dan ditambahbaik. Tugas kita sebagai khalifah antaranya nasihat-menasihati semasa manusia.... Moga-moga ada manfaatnya.

+Credits To:  

Sunday, 24 February 2013

ROHANi. RASA . ROHANi (PENGHAYATAN TAUHID DI DALAM HATI)


Ilmu rohani juga dikatakan ilmu rasa (zauk) kerana perbahasan ilmu ini adalah mengenai rasa. Yakni rasa-rasa atau perasaan semula jadi yang bertapak di hati sama ada rasa positif atau rasa negatif. Rasa ini berhubung kait dengan roh. Bila ada roh, adalah rasa. Bila roh tidak ada seperti jamadat (seperti batu, pasir, besi), rasa pun turut tidak ada padanya.


Ertinya hakikat rasa adalah rohnya. Yang rasa marah itu adalah roh. Yang rasa sakit adalah roh. Yang rasa angkuh pun roh. Yang rasa sabar dan rasa sayang adalah roh. Begitulah seterusnya rasa-rasa yang lain. Sebab itulah ilmu roh ini juga dikatakan ilmu rasa.

Rasa positif seperti cinta, berani, ikhlas, kasih, sabar dan lain-lain, semuanya dirasa oleh roh di dalam jasad. Begitu juga dengan rasa negatif seperti kecewa, marah, angkuh, hasad dan lain-lain lagi. Ini juga berhubung kait dengan roh.

Rasa positif (mahmudah) yang bertapak di hati itu akan lahir pada sikap atau pada anggota lahir yang akan bertindak melakukan macam-macam kebaikan. Manakala rasa-rasa negatif (mazmumah) juga akan lahir pada sikap atau pada anggota lahir, yang mana ia juga akan bertindak secara negatif pula.

Di sini kita akan bahaskan tentang ilmu rasa sehingga rasa positif dan negatif yang bertapak di hati itu benar-benar dapat dirasakan, bukan sekadar diakal-akalkan. Dengan itu, sifat-sifat mahmudah dapat dimiliki (dirasai) dan dapat disuburkan. Manakala sifat-sifat mazmumah pula dikenal pasti dan dikikis-buangkan.

Mungkin selama ini kita baru tahu (sekadar akal) tentang sifat-sifat mahmudah dari ilmu yang kita pelajari tetapi kita belum benar-benar merasai (di hati) sifat-sifat mahmudah itu. Begitu juga dengan sifat-sifat mazmumah, kita sekadar tahu adanya sifat-sifat itu tetapi buat acuh tak acuh sahaja hinggakan tidak serius berusaha membuangnya dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah.


Melalui kaedah roh melihat roh, rasa-rasa positif atau negatif ini dapat dikesan. Setelah dapat dikesan serta dapat pula disuburkan melalui mujahadah dan latihan-latihan secara istiqamah, maka perasaan-perasaan mahmudah yang bertapak di hati itu akan mampu mengubah anggota lahir manusia atau tindaktanduk atau tabiat untuk melakukan kebaikan-kebaikan. Yakni ia menjadi motor (pendorong) atau kuasa untuk seseorang itu berbuat baik.

Umpamanya, rasa ikhlas dalam hati akan menjadikan seseorang itu ikhlas di dalam perbuatannya. Rasa kasih menjadikan dia berkasih sayang dengan manusia. Rasa tawakal dalam hati menjadikan dia seorang yang menyerah diri pada Allah dalam setiap kerjanya. Rasa rindukan Allah dalam hatinya menjadikan dia perindu Allah dan sanggup berkorban apa saja demi Tuhan. Rasa takutkan Allah menjadikannya gementar apabila mendengar nama-Nya disebut dan dia akan menjauhkan segala larangan-Nya. Rasa yakin dengan janji-janji Allah menyebabkan dia terhibur dengan kebenaran dan tahan dengan ujian.

Sehingga lahirlah dalam kehidupan seharian kebaikan-kebaikan yang terserlah seperti dia akan jadi orang yang ikhlas, tawadhuk, berkasih sayang, pemurah, tawakal, sabar, redha, baik sangka, pencinta dan perindu Allah, sangat sensitif dengan dosa dan kesalahan, suka mengutamakan orang lain dan lain-lain sifat mahmudah lagi.


Firman Allah:  “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebutkan nama Allah, maka gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah keimanan mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Al Anfal: 2)

Sabda Rasulullah SAW:

1. Dari Iyadh bin Himar r.a., katanya telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada saya, bertawadhuklah (merendah diri) sehingga seseorang tidak menyombongkan diri terhadap lainnya dan seseorang tidak menganiaya terhadap dirinya.” (Riwayat Muslim)

2. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak kurang harta kerana bersedekah dan Allah tidak menambah pada seseorang yang memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiada seseorang yang bertawadhuk (merendah diri) kerana Allah, melainkan dimuliakan Allah.” (Riwayat Muslim)

3. Daripada Aisyah r.ha., katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah lunak, tenang dan suka pada ketenangan dalam semua urusan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. “Sebaik-baik manusia ialah yang dapat memberi manfaat kepada manusia yang lain.” (Riwayat Qudha‘i dari Jabir)

Terlalu banyak sifat mahmudah ini disebut di dalam Al Quran dan Hadis khususnya ditujukan kepada orang-orang mukmin. Tujuannya supaya mereka meyakini kemudian merasainya. Meyakini tidak sama dengan merasai. Meyakini atau mempercayai itu hanya pada akal atau atas dasar ilmu. Ada hujah-hujah dan dalil tentang itu sehingga akal tidak boleh menolaknya. Tetapi merasai itu di hati, iaitu hati menghayatinya serta sangat memberi kesan terhadap sikap hidupnya.


Selama ini kita hanya yakin atau percaya tentang sabar, redha, tawakal, takut, cinta, harap, kasih sayang, pemurah, ikhlas, zuhud, malu, merendah diri, tolak ansur, pentingkan orang lain dan lain-lain lagi. Tetapi ia belum subur di dalam hati dan tidak pernah menjadi pengalaman dalam diri, apalagi merasai hal-hal itu semua. Yakni hati belum lagi menghayatinya dan belum menjadi tabiat diri. Maka ia tidak akan berkesan di dalam sikap diri dan dalam kehidupan.

Seperti yang dikatakan tadi, meyakini sifat-sifat itu tidak sama dengan merasai (menghayati)nya. Dua perkara yang san-gat berbeza. Semua orang boleh bercakap atau memperkatakan hal ini, bahkan mempercayainya. Percaya itu di akal tetapi rasa itu di hati.

Untuk mudah difahami biar dibuat satu perbandingan. Seorang yang yakin dan percaya bahawa harimau itu menakut-kan tidak sama dengan seorang yang rasa takutkan harimau. Percaya, baru di peringkat ilmu tetapi rasa takutkan harimau itu adalah rasa dan pengalaman. Semua orang bila sebut harimau akan percaya yang harimau itu menakutkannya. Tetapi rasa takut itu belum ada dalam hati.


Bilakah rasa takut itu benar-benar bertapak di hati? Itulah sewaktu terserempak dengan harimau. Spontan saja timbul rasa takut yang amat sangat di dalam hati. Takut yang mungkin tidak terkawal lagi. Ibarat kucing yang sedang menggonggong anaknya, akan terjatuh anaknya dari mulutnya lantaran rasa takut itu terlalu menguasai dirinya. Itulah kesan dari rasa takut. Sedangkan orang yang tidak berdepan dengan harimau, tidak terkesan apa-apa. Walaupun dia tahu yang harimau memang menakutkan.

Demikianlah bandingannya dengan contoh rasa-rasa yang lain. Seperti rasa manis pada gula, tidak dapat dikesan kalau kita cuma tahu yang gula itu manis. Tetapi bila dimakan barulah terasa manisnya. Demikian juga rasa pedas pada cili. Atas dasar ilmu memanglah semua orang percaya yang cili itu mempunyai sifat pedas tetapi belum merasai pedas. Sudah makan cili barulah rasa pedasnya. Selagi tidak dimakan, walaupun kita cukup tahu yang cili itu pedas, pasti tidak akan terasa pedasnya.

Begitu jugalah selama ini, akal atau ilmu kita percaya dan yakin bahawa takut, hebat, sayang, gerun, sensitif, malu, me-rendah diri, cinta, harap, tawakal dan rindu dengan Allah itu semuanya diperintahkan tetapi kita belum merasainya di dalam hati.


Rasa-rasa ini jika benar-benar bertapak dalam hati, ia akan mendorong anggota lahir manusia bertindak membuat seribu satu macam kebaikan. Dengan kata-kata lain, ia merupakan penghayatan tauhid di dalam hati. Yakni bukan sekadar diketahui oleh akal sebagai ilmu tetapi ia benar-benar dirasai oleh hati. Setiap ilmu itu kalau sekadar difahami di akal tanpa dirasai oleh hati, maka ilmu itu akan jadi mental exercise semata-mata. Tidak untuk dijadikan tindakan di dalam kehidupan. Jadilah ia bahan perbahasan di dalam kertas-kertas kerja atau teori falsafah sahaja. Ia sekadar menjadi bahan perbincangan di muktamarmuktamar atau seminar-seminar, sebagai perbahasan ilmiah di dalam tulisan-tulisan, sebagai bahan kajian atau tesis atau hanya untuk peperiksaan bagi melayakkan dapat sijil atau degri serta sekadar diperbincangkan. Ternyata ia tidak berlaku dalam sikap dan kehidupan.

Itulah yang berlaku di kalangan sebahagian besar para ilmuan terutama para ulama sekarang ini. Iaitu ilmu menjadi bahan perbincangan semata-mata. Tidak untuk mengubah sikap daripada jahat kepada baik. Daripada tidak berakhlak kepada berakhlak. Daripada sombong kepada merendah diri. Daripada bakhil kepada pemurah. Tidak juga mengubah daripada cinta dunia kepada cinta Allah SWT. Daripada takutkan makhluk kepada takutkan Allah. Daripada sensitif dengan dunia kepada sensitif dengan kesalahan dan dosa atau sensitif dengan Akhirat. Daripada kasar kepada berkasih sayang. Daripada keluh-kesah kepada ketenangan. Daripada penting diri kepada mengutamakan orang lain dan sebagainya.



Ilmu rohani atau ilmu rasa (zauk) ini bukan senang hendak disuburkan ke dalam hati, sekalipun asasnya sudah ada. Selama mana hati tidak dapat dibersihkan daripada mencintai dunia serta sifat-sifat mazmumah yang lainnya, maka selama itulah cinta kepada Allah tidak akan bertapak di hati. Rasa hamba tidak akan terasa. Rasa hebat kepada Allah tidak akan tersemat. Rasa kasih sayang tidak akan berbunga. Rasa rindu jauh sekali. Rasa timbang rasa tidak akan wujud. Rasa pemurah tidak akan ada. Rasa diawasi oleh Allah tidak akan timbul. Rasa sensitif dengan dosa tidak akan bertapak di dalam hati. Rasa senang menunggu janji dari Allah tidak akan ada dan begitulah seterusnya.

Kalau rasa-rasa yang disebut di atas tadi belum bertunjang di hati atau tidak subur di dalam hati (zauk), dengan apa lagi yang akan mendorong manusia untuk membuat kebaikan? Apakah lagi perkara lain yang akan menjadi enjin atau motor yang mampu menolak kejahatan atau mendorong mencetuskan kebaikan?

Kalaupun kelihatan ada kebaikan-kebaikan lahir yang di-buatnya, itu bukanlah didorong oleh hati (iman). Tetapi atas dorongan kepentingan peribadi – huzuzunnafsi.

Contoh-contohnya:

– Seorang yang menolong orang atas dasar inginkan undinya.

– Memberi fatwa untuk hiburkan hati tuan, bukan Tuhan.

– Berkhidmat kepada masyarakat kerana inginkan kemasy-huran.

– Bersedekah kerana nama.

– Membantu kerana hendak mengelak daripada kejahatan manusia.

– Hormatkan orang kerana takutkan kuasanya.

– Beri kasih sayang kerana inginkan bantuan dan pemberian-nya.

– Bekerja kerana gaji atau elaun.

– Membanteras kemungkaran kerana diarahkan oleh tuan, bukan kerana itu perintah Tuhan.

– Berseminar atau membentangkan kertas kerja kerana ada peluang-peluang untuk dapat duit yang dicurahkan dalam seminar-seminar itu dan bukan tujuan perlaksanaan.

– Memperkatakan Islam supaya jangan rasa ketinggalan di zaman kebangkitan Islam ini. Atau jangan sampai dituduh orang tidak mengikuti perkembangan semasa dan macam-macam desakan kepentingan peribadi (huzuzunnafsi).

Semua itu bukan merupakan kebaikan yang hakiki, tetapi cuma untuk sementara waktu. Ia hanya dorongan luaran, bukan dorongan dalaman. Di sisi Allah, mereka termasuk ke dalam golongan orang yang berpura-pura baik atau bersifat nifak. Di waktu-waktu kepentingan tidak ada, kebaikan itu tidak dibuat lagi. Orang begini biasanya kebaikan yang dibuat itu tidak tahan diuji. Yakni kalau ada ujian dia tidak akan dapat meneruskan kebaikan itu.

Untuk golongan ini Allah SWT ada mengingatkan di dalam firman-Nya: “Barangsiapa yang mengkehendaki pahala di dunia saja (maka ia merugi), kerana di sisi Allah ada pahala dunia dan Akhirat. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (An Nisaa’: 134)

CARA MENDAPATKAN ILMU RASA (ZAUK)

Ilmu rohani atau ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauk) ini tidak akan dapat diperolehi dengan hanya diberitahu atau dipelajari saja. Ianya mesti diusahakan melalui beberapa langkah iaitu:

1.   Mendapat pimpinan guru mursyid atau guru yang bertaqwa.

2.   Mengetahui tentang ilmu rohani.

3.   Melalui tarbiah atau didikan.

4.   Melalui latihan melawan nafsu.

5.   Sanggup mujahadah melawan nafsu.

6.   Istiqamah bermujahadah.

7.  Selalu berfikir tentang dosa dan kelemahan diri di samping berfikir tentang kebesaran Allah.

8.   Berdoa mengharapkan pertolongan Allah.

Sebenarnya, lapan cara untuk mendapat zauk ini tiada beza-nya dengan cara-cara mendapatkan iman dan taqwa. Sebab zauk ini adalah sama dengan menanamkan iman dan taqwa. Kelainan istilah dan susunan hanya memperlihatkan bahawa proses itu boleh berlaku dalam berbagai cara.



Apa yang berlaku di seluruh dunia hari ini ialah sekolah-sekolah, kolej-kolej, institusi-institusi dan universiti-universiti Islam menyampaikan ilmu semata-mata. Ertinya pelajar-pelajar atau siswa-siswi atau orang ramai hanya diberikan taalim tanpa diberi tarbiah atau didikan, tanpa ada latihan (riadatunnafsi), tanpa bimbingan mujahadatunnafsi, tanpa disiplin-disiplin ibadah tertentu dan tanpa pimpinan terus oleh guru-guru yang terlibat dengan taalim yang mana guru itu pula mesti menjadi contoh. Untuk mendapat guru mursyid memanglah susah terutama di akhir zaman ini kerana bukan mudah untuk menjadi guru mursyid. Iaitu guru yang dirinya itu menjadi model dan contoh.

Guru yang sekadar berikan kuliah ilmu, lepas itu terpulanglah kepada murid untuk faham atau tidak, untuk beramal atau tidak. Esoknya ditambah dengan kuliah ilmu yang baru pula. Guru seperti ini mudah dicari. Begitu juga pelajar-pelajar dan siswa-siswi hanya buka kitab, tutup kitab dan strugglelah sendiri kalau ingin faham atau lulus dalam pelajaran mereka. Hubungan murid dengan guru tidak ada langsung. Lebih-lebih lagi guru-guru itu tidak pula menjadi contoh kepada pelajar-pelajarnya. Usahkan guru hendak memimpin murid, dirinya sendiri pun tidak terpimpin. Kalaupun ada kelas tambahan atau tutorial selepasnya, itupun dibuat kerana hendak lulus periksa. Bukan dibuat untuk memimpin dan mendidik murid-muridnya. Jadi bagaimanakah mereka dapat melahirkan anak-anak murid yang terdidik dan berakhlak mulia?


Begitu juga berlaku sebahagian besar di pondok-pondok dan pesantren-pesantren di seluruh dunia hari ini, selepas guru-guru atau ustaz-ustaz mengajar Babul Buyuk (bab jual beli) misalnya, mereka tidak pun berusaha untuk melaksanakan apa yang dipelajari. Seolah-olah Allah suruh belajar untuk tahu sahaja, bukan untuk dilaksanakan. Yang sedihnya kadang-kadang kita lihat, betul-betul di sebelah pondok atau pesantren itu, tersergam kedai orang bukan Islam yang berniaga dan menjadi tempat belibelah penduduk sekitar pondok itu. Seluruh kakitangan pondok, dari murid-muridnya hingga ke ustaz-ustaznya turut bertumpu ke kedai tersebut. Membantu membangun dan memajukan ekonomi orang bukan Islam.

Sistem ekonomi Islam yang dipelajari tidak pun diusahakan dan ditegakkan. Patutnya hasil pelajaran itu, guru-guru terus melatih murid-muridnya mempraktikkan ilmu dalam kedai-kedai kecil yang modalnya diusahakan bersama. Usahakan sampai kaedah perniagaan Islam itu tertegak dan perniagaan yang tidak ikut sistem Islam itu dapat dihapuskan. Sebagaimana Rasulullah SAW berjaya mengatasi ekonomi kapitalis Yahudi di Madinah melalui perniagaan Islam ‘Suqul Ansar’.

Firman Allah SWT: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (Al Fath: 29)


Tetapi mengapa terjadi sekarang ini hal yang sebaliknya? Sebab ilmu yang diberi itu ilmu yang mati (beku). Tidak ada rohnya. Maka kesannya, guru dan murid tidak rasa apa-apa terhadap perniagaan orang kafir itu. Tidak timbul rasa cemburu, tidak rasa tercabar, tidak malu dan tidak ingin berlumba-lumba untuk menegakkan ekonomi Islam bagi menggantikan ekonomi orang bukan Islam itu. Tegasnya, jiwa perjuangan atau jihad fisabilillah tidak ditanam ke dalam jiwa melalui pengajaran yang dibuat. Hasilnya murid tiada upaya untuk memperjuangkan ilmu Allah yang telah diketahuinya. Jadilah umat Islam jumud dan beku.

Jadi, ilmu yang hanya menjadi mental exercise ini tidak akan dapat dihayati oleh hati. Akhirnya lulusan pengajian Islam ini tidak dapat menjadi contoh kepada masyarakat. Hinggakan masyarakat tidak nampak contohnya lagi. Maka berterusanlah masyarakat hidup dalam dunia sekularnya.

Oleh itu menghayati ilmu rasa atau ilmu tasawuf itu sangat penting kepada kaum muslimin kerana ia menjadi pendorong yang kuat kepada kebaikan dan benteng yang kebal kepada kejahatan. Kalau tidak nanti manusia itu ibarat kereta tanpa enjin. Walaupun bodynya baik, cantik dan gagah tetapi ia tidak dapat bergerak ke hadapan atau tidak dapat digunakan atau tidak dapat dimanfaatkan

Thursday, 21 February 2013

CINTA BAGINDA RASULULLAH SAW ~ 15 AMALAN SUNNAH NABI MUHAMMAD


Related Entry (Fe.e.l.  f.r.e.e.  t.o. c.l.i.c.k.  t.h.e.  l.i.n.k.s.):






Antara amalan yang dilakukan Nabi Muhammad  

1. Senyuman
Abdullah bin Al-Harist r.a menuturkan, yang artinya, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah ﷺ .” (Riwayat At-Tirmidzi)
.
2.  Dahulukan Kanan
Daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah  ﷺ  lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala hal (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwuduk dan mandi.“ (Hadis riwayat Muslim)
.
3.  Berpakaian
Ummu Salamah meriwayatkan: “Pakaian yang paling disukai oleh Baginda  ialah pakaian Qamis).” (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)

4.  Bercelak
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah  bersabda: “Hendaklah kamu bercelak dengan menggunakan batu celak (Al-Itsmid) kerana celak dapat memperjelaskan penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata).” (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
.
5.  Memakai Cincin
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Rasulullah  ﷺ memakai cincin di jari tangan kanan Baginda.” (Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Hibban.)
.
6.  Makan
Ka’ab bin Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah  makan menggunakan ketiga jari Baginda. Selepas makan Baginda menjilati ketiga-tiganya.” (Riwayat Tarmizi, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
.
7.  Minum
Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan: “Ketika Rasulullah  minum, Baginda menarik nafas (menghela) dua kali.” (Riwayat Tarmizi dan Abu Syaikh)
.
8.  Bersilaturrahim
Rasulullah  bersabda: “Tahukah kamu tentang sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan? Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan, adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahmi, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan persaudaraan.” (Riwayat Ibnu Majah).
.
9.  Berjalan
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Apabila Rasulullah  berjalan, tubuh Baginda tegak seperti sedang menuruni tanah yang landai.” (Riwayat Tarmizi dan Hakim)
.
10. Berkata
Anas Ibnu Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah  mengulangi perkataan Baginda tiga kali supaya lebih difahami (oleh pendengarnya).” (Riwayat Tarmizi dan Hakim)
.
11.  Tertawa
Abdullah bin Harith r.a. meriwayatkan: “Tawa Nabi Muhammad  hanyalah senyuman.” (Riwayat Tarmizi )
.
12. Bergurau/bercanda
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan: “Betapa baiknya Nabi  menggauli kami. Baginda berkata kepada saudaraku yang masih kecil, ‘Wahai Abu Umair, apa yang sedang dilakukan oleh burung nughair?’” (Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud, Nasa’i dan Ahmad)
.
13. Tidur
Aisyah r.ha. meriwayatkan: “Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah ﷺ  menadahkan kedua tapak tangan sambil membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudian Baginda meniup kedua-dua tapak tangan tersebut. Setelah itu, Baginda menyapu bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah lalu bahagian depan tubuh Baginda. Hal itu Baginda lakukan sebanyak tiga kali.” (Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
.
14. Membaca al-Quran
Ya’la bin Mamlak bertanya kepada Ummu Salamah tentang cara Rasulullah ﷺ  membaca al-Quran. Menurut Ummu Salamah, Rasulullah  membaca al-Quran dengan sangat jelas kalimah demi kalimah. (Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)
.
15.  Ibadah
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah  melaksanakan solat hingga kedua-dua kaki Baginda bengkak. Beliau bertanya, “Mengapa engkau melakukan hal ini padahal engkau mengetahui bahawa Allah SWT telah mengampuni dosamu yang telah berlalu dan akan datang?” Baginda SAW menjawab, ‘Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?’.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Khuzaimah)