Saturday, 2 March 2013

Tapisan Demi Tapisan dari Illahi : Menjadi Generasi al-Quran yang Unik


Duhai jiwa-jiwa, marilah merasa dekat dengan Islam dekat jua dengan Allah Ta’ala.

Ketahuilah duhai jiwa, natijah yang Nampak seolah-olah Islami, tetapI sebenarnya terputus hubungan denganAllah, ditolak oleh Allah swt dan pelaku-pelakunya diseksa oleh Allah swt. 


Satu hadis yang wajar kita renungkan:

Satu hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. iaitu perkara pertama yang akan diputuskan di hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Maka dihadapkan dan ditanyakan beberapa nikmat Allah kepadanya. Setelah diakui banyaknya nikmat Allah, maka ditanya : Apakah perbuatanmu terhadap nikmat itu? 
Jawabnya : Saya telah berjuang untuk-Mu sehinggalah mati syahid. 
Allah menjawab : Dusta engkau! Tetapi engkau berjuang supaya dikenali sebagai pahlawan dan dirimu telah pun terkenal. Kemudian, Allah memerintahkan supaya dirinya diseret ke dalam api Neraka.

Begitu juga nasib seorang pelajar yang telah pandai serta mengajar al-Quran. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menerima semua amalnya untuk terkenal sebagai qari. Kemudian diseret mukanya kedalam neraka.

Seorang hartawan yang suka menderma ketika hidupnya mungkin juga dicampak ke neraka. Ini kerana amalannya terputus hubungan dengan Allah dan bertujuan untuk dikenali sebagai dermawan.

Duhai jiwa, tidakkah hadith ini cukup menggerunkanmu? Sedangkan orang yang mati syahid, qari, dan dermawan pun dicampak ke neraka. Biarpun hidupku dekat dengan Islam, namun bersihkah engkau duhai hatiku?



Persediaan hati perlukan proses tarbiah yang tersusun bermula dengan tazkiyah an-nafs dan mua’lajatul uyub (mengikis keaiban). Mujahadah yang dituntut amatlah perit dan bukan sedikit. Ia tidak boleh diambil mudah! Hanya dorongan dari hati yang diproses untuk dekat dengan Allah akan memampukan seseorang melakukan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah swt serta menjauhi larangan-Nya secara menyeluruh. Inilah hakikat penghambaan sebenarnya dan hakikat pengabdian ini akan hanya akan lahir apabila jelas hubungan hati dengan Allah.

Kita cintakan Islam kaafah!! Bukan sekadar system pentadbiran yang perlu Islamik tetapi sistem diri juga perlu Islami merangkumi hati, pemikiran dan amalan. Berkata Hassan al-Hudaibi: Tegakkan Islam dalam diri, nescaya tertegaklah Islam di muka bumi. Wahai diri, bagaimanakah praktikalnya?



Kekuatan hubungan dengan Allah sahajalah yang menjadi tenaga penggerak hati, rasa, pemikiran dan sahsiah diri sejajar dengan syariat keIslaman. Inilah rahsia kekuatan sebenar yang akan mencorak sesorang dengan corakan Allah swt (sibghatullah) walaupun ditempat sunyi ataupun dikhalayak ramai, gelap dan terang, susah atau senang, setiap ketika, dimana sahaja. Inilah proses didikan yang dilakukan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat sehingga dikenali sebagai generasi al-Quran yang unik.

Iman mereka diiktiraf oleh Allah dan apa yang wajar dicontohi ialah keimanan mereka, cara mereka berhubung dengan Allah dan rasulNya, keyakinan mereka, cara berfikir dan tingkahlaku mereka. Hakikat ini perlu diyakini dan dirasi untuk mengikut jejak langkah mereka. Sekiranya mereka menerima hakikat dekat dengan Allah sebagai titik tolak dalam melaksanakan Ubudiyyah kepada Allah (menegakkan Islam dalam diri dan dimuka bumi), maka kita juga mesti menerima hakikat ini sebagai satu prinsip yang utama.

Hakikat ini perlu dirasai agar setiap rasa, pemikiran, tingkah laku kita selaras dengan kehendak Allah, jernih dengan fikrah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Itulah generasi al-Quran yang unik.

Sabda Rasulullah:

‘Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran’


Zaman berganti zaman, Islam gharib (asing) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuraba’ (orang-orang yang asing). Golongan ini sikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Illahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas kepadaNya.

Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan kita untuk termasuk dalam golongan ghuraba’? mungkinkah kelalaian kita yang berterusan akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah…

Ya Allah, bantulah kami untuk layak berada di atas jalanMu. Jangan sekali-kali Kau menapis kami dari jalanMu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubati hati dan mengubah sahsiah diri. 

Ameen..

No comments:

Post a Comment