Friday, 5 October 2012

Keyaqeenan & Keras Hati = Tawakkal


Dalam bab Karektor dan Keistimewaan Aisyah, Sulaiman An-Nadawi dalam karyanya bertajuk Aisyah: Keanggunan Sebenar menceritakan salah satu perwatakan Aisyah yang menarik perhatianku, ‘Maruah serta Keras Hati’. Begini penulis menceritakan sebagai membuktikan sikap ini terbentuk dalam diri wanita unggul itu:

Walaupun Aisyah adalah wanita yang rendah hati, namun dalam hal tertentu beliau agak keras hati. Beliau tidak suka hidup di bawah telunjuk orang lain. Kadang-kadang sifat keras hatinya ditunjukkan dengan sikap merajuk kepada suaminya.

Seperti dalam peristiwa fitnah haditsul ifki, Aisyah berkeras enggan pergi kepada suaminya walaupun wahyu berkenaan kesucian dirinya sudah diturunkan. Ucapan pertama yang keluar daripada pesuruh Allah adalah,“Bergembiralah, wahai Aisyah! Allah sudah membebaskanmu daripada segala tuduhan”.

Ayat 11 surah an-Nuur yang menegaskan kesuciannya adalah seperti berikut, “Sesungguhnya orang yang membawa berita yang dusta itu adalah segolongan daripada kalangan kamu; Janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan mendapat hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)”.

Selepas ayat itu diwahyukan, ibu Aisyah menyuruhnya pergi kepada Nabi Muhammad.

Aisyah enggan lalu menjawab, “Demi Allah, saya tidak akan mendatangi beliau. Hanya Allah yang saya puji kerana Dialah yang menurunkan wahyu dan membebaskan diriku daripada segala tuduhan”.

Bukhari, Muslim, Nasa’i dan Ibnu Hibban mengisahkan, “Aisyah akan bersumpah dengan ‘Demi Tuhan Muhammad’, tetapi lain halnya semasa merajuk. Semasa merajuk, beliau biasanya bersumpah dengan kata, ‘Demi Tuhan Ibrahim’ ”.

Walau bagaimanapun, sikap keras hati dan ucapannya semasa merajuk itu adalah dalam konteks hidup berumah tangga.

Anak saudaranya, Abdullah bin Zubair adalah orang yang dikasihinya. Abdullahlah orang yang memenuhi segala keperluan Aisyah. Aisyah memang pemurah, suka bersedekah sehingga habis apa sahaja yang dimilikinya. Oleh itu, Abdullah pernah berkata, “Sepatutnya tangan-tangan Aisyah itu diikat”.

Aisyah terdengar kata-kata Zubair itu lalu berkata, “Apa? Tangan saya perlu diikat? Saya bernazar tidak akan bercakap dengan Abdullah bin Zubair lagi”. Nazar ialah janji menunaikan sesuatu apabila hasrat tercapai.

Bukhari mencatatkan, “Nazar Aisyah itu merisaukan Abdullah bin Zubair. Abdullah pun meminta pertolongan daripada beberapa orang suku Quraisy. Beberapa org bapa saudara Nabi Muhammad pun turut diajak. Aisyah akhirnya mengalah lalu membatalkan nazarnya. Sebagai tebusan kepada nazarnya, beliau memerdekakan 40 orang budak suruhan”.

Secara umumnya, orang yang keras hatinya sukar berlaku adil. Sifat keras hati serta mampu berlaku adil adalah dua perkara yang berlawanan. Hanya mereka yang sudah mencapai akhlak yang sempurna sahaja mampu menyatupadukan dua sifat yang bertentangan ini. Tetapi, Aisyah sudah diasuh oleh pendidik terunggul iaitu Nabi Muhammad. Tidak hairanlah sekiranya beliau mampu menyatupadukan dua sifat yang bertentangan ini. Walaupun keras hatinya, namun beliau sentiasa dapat berlaku adil.

Abdurrahman bin Syamasah pernah datang berjumpa Aisyah bagi bertanya berkenaan satu masalah. Aisyah bertanya, “Kamu dari mana?”
“Saya dari Mesir”, jawab Abdurrahman.
“Bagaimana sikap pemerintah kamu dalam perang yang baru sahaja terjadi ini?” tanya Aisyah.
“Kami menyukainya. Jika unta salah seorang daripada kami mati, beliau menggantikannya dengan unta lain. Jika budak suruhan kami meninggal dunia, beliau juga akan menggantikannya dengan budak lain. Jika kami memerlukan nafkah, beliau akan memberikan kami nafkah”.
“Walaupun pemerintah kamu itu tidak adil ke atas saudara saya, Muhammad bin Abu Bakar, namun saya tetap mahu menyampaikan kata-kata Nabi Muhammad. Kata-kata ini dinyatakannya di dalam rumah ini juga, ‘Ya Allah, sesiapa yang berkuasa atas umatku ini lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa yang berkuasa atas umatku lalu ia menyayangi mereka, maka sayangilah ia’ ”. Hadis ini direkodkan oleh Muslim.

Seusai membaca bab ini, aku cuba merenung dalam diri. Keras hati… Sungguh kuakui sikap itu telah sebati dalam diri. Terkadang aku sendiri berasa cuak, kenapa mesti terlalu keras. Dan memang ada ketikanya aku tidak mampu bersikap adil lantaran belitan sikap keras hatiku. Paling teruk sekali apabila aku tidak mampu bersikap adil kepada diriku sendiri. Itu telah cukup membuktikan betapa akhlakku belum cukup sempurna, sesempurna akhlak wanita unggul yang cuba kucontohi itu. Aisyah…, seindah namamu begitu jua akhlakmu… Moga aku mampu mencontohimu sebagai seorang hamba yang tercipta selaku wanita.

No comments:

Post a Comment