Sunday, 1 April 2012

Bertaubat Di Florence

Bab 9: Travelog HAJI
Mengubah Sempadan Iman
Muhd Kamil Ibrahim

Ibadat haji benar-benar mengundang manusia supaya melihat kisah lampau, berfikir sambil berpeluang merenung arah perjalanan baki kehidupan. Terutamanya dalam konteks hubungan manusia dengan Penciptanya.

Mengapa tertulis kata-kata di atas?

Saya menjadikan diri saya sendiri sebagai contoh. Umur sudah melebihi 42 tahun. Seorang yang jahil. Ilmu agama ternyata sedikit. Tentu sekali banyak dosa-dosa yang dilakukan. Dosa besar, dosa kecil, doa yang dibuat secara terang-terangan dan dosa yang dibuat secara sembunyi-sembunyi. Kesemuanya ada. Banyak buku ibadah haji yang sudah dibaca menyarankan supaya setiap bakal haji membersihkan diri sebelum menjadi tetamunya. Maksudnya, kita hendaklah bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

Hampir semua rencana atau ceramah yang membincangkan perkara taubat mengatakan, orang-orang yang benar-benar mahu bertaubat perlu meminta ampun dengan sepenuh hati, berasa berdosa, berniat tidak mengulangi dan sekiranya boleh, menangis serta meratapi dirinya. Ratapan ini pula seharusnya dari bisikan dan suara jiwa dalamannya. Dikatakan, dosa seorang hamba kepada Allah terampun apabila syarat-syarat taubat dipatuhi. Ia dinamakan taubat nasuha.

Antara kami, tiada yang pernah bertaubat mencukupi syarat. Kita biasa menyebut, "Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku" selepas solat fardhu sebagai rutin doa. Ia kata-kata di bibir yang tidak turun ke hati. Lalu, kerana ibadat haji, terasa ia kewajipan besar untuk bertaubat dan pergi dalam keredhaan-Nya.

Maka solat sunat Taubat menjadi kemestian. Kami berdo'a menggunakan Doa Taubat Besar yang disusun oleh Ja'afar Sabran melalui buku Risalah Do'a. Terdapat perubahan pada sebutan dan kata-kata sesuai dengan gaya dan intonasi sendiri. Bahasa pengantar semasa berdo'a adalah bahasa Melayu supaya dapat merasai dan menghayatinya sehingga ke hujung hati (Hakikat sebenar, saya tidak tahu berbahasa Arab).


Keinginan bertaubat dan mahu diampunkan terlalu kuat. Ketika menyebut 'dosa-dosaku', hati dan minda membayangi segala dosa-dosa signifikan yang dilakukan. Lalu do'a yang dibaca adalah sepenuh perasaan dengan nada yang sebak, di hujung malam sehingga berkerut-kerut muka. Namun, ia bukan tangisan yang. Setitis air mata pun tidak keluar. Ia tidak dapat dipaksa-paksa.


Jelas, ia bukan permainan. Malah dari perspektif yang berbeza, terasa keikhlasan do'a itu masih belum mencukupi. Ia seolah-olah tidak bermula dari hati sanubari dan pastinya tidak sampai ke atas. Terbayang ia tidak dilayan oleh-Nya atas sebab-sebab yang tidak dapat dijelaskan. Itulah perasaan hati yang bercelaru mengharap simpati daripada Allah.


Hari pertama, hari kedua, minggu pertama, minggu ketiga dan bulan pertama, setiap hari berdo'a. Berdo'a dan berdo'a dengan harapan Allah memberi petunjuk dan isyarat terutamanya dalam konteks mahu menitiskan air mata. Ternyata hampa dan jauh di sudut hati, perasaan kerisauan mula muncul, "Ya Allah, mengapalah taubatku tidak diterima?"


Mungkin ada orang menyatakan, "Kita berdo'a, terima ataupun tidak, terpulang kepada Allah. Mustahil kita mengetahuinya."

Walaubagaimanapun hati tidak fikir begitu. Saya percaya, janji Allah adalah benar. Dia berjanji sebagaimana hadith, Anas bin Malik r.a. melaporkan Rasulullah SAW pernah berkata:


"Allah berkata: 'Wahai Anak Adam, sesungguhnya selagi kamu berdo'a kepada-Ku dan mengharap kepada-Ku, Aku mengampuni dosamu dan kesalahanmu dan aku tidak peduli dengannya.

Wahai Anak Adam, sekiranya dosa-dosamu sampai ke langit, kemudian kamu meminta ampun kepada-Ku pasti Aku mengampuni dan tidak peduli dengannya.

Wahai Anak Adam, apabila kamu menjumpai-Ku (meninggal dunia) dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan menjumpaimu dengan setompok ampunan yang serupa dengannya."


Hakikatnya, setiap orang yang berdo'a dengan penuh keikhlasan terasa apabila do'anya didengari atau dimakbulkan. Namun ia tidak dapat digambarkan.

Mei 2006. Saya masih berada di Florence, Itali bersama Roza kerana membentangkan kertas kerja. Seminggu di sana. Segala kegiatan di Malaysia masih diteruskan terutamanya rutin qiyamullail dengan bersolat sunat Tahajjud, Hajat dan Taubat. Malam terakhir di Itali.Kelihatan Roza benar-benar dalam keletihan. Bisikan hati kuat tidak mahu mengganggu dia. Bangun perlahan-lahan, mengambil wudhuk dan bersolat sunat. Dengan hanya menggunakan lampu tandas, itupun dengan menutup pintunya. Selepas solat, buku do'a dibaca menggunakan cahaya lampu kecil melalui celahan pintu tandas itu. Kaki timpuh di muka pintu. Ia lansung tidak kondusif. Tidak selesa.

Bibir menyebut;


" Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu Ya Allah.

Ya Allah, aku bertaubat kepada-Mu daripada segala dosa yang aku lakukan"



Air mata bercucuran tanpa dipaksa. Siapapun benar-benar tidak menduga dengan apa yang Allah anugerahkan. Minda terbayang dan yakin Allah mendengar permintaan hamba-Nya dan memberi isyarat dalam keadaan yang tidakl dijangkakan. Bukankah Allah Maha Berkuasa dan Dia berhak menentukan apa yang ingin Dia anugerahkan?  Astaghfirullah.

Itulah perasaan yang menusuk qalbu. Entah. Benar ataupun tidak, seluruh tubuh merasai kenikmatan bertaubat terutamanya apabila air mata menitis membasahi pipi. Seolah-olah wujud vacuum antara hati dan persekitaran. Ia perasaan yang luar biasa. Sekiranya benar taubat itu diterima, bukankah ada logiknya saya ibarat bayi yang suci? Astaghfirullah. Selama 42 tahun hidup di muka bumi ini, tidak pernah mampu bertaubat seindah ini. Ia hanya berlaku ketika ingin menunaikan fardhu haji.


.






No comments:

Post a Comment